SHAH ALAM, 15 OKT: Inisiatif komuniti hijau MiniZeeBee terus melangkah ke fasa lebih moden apabila teknologi dan inovasi kini dijadikan teras utama dalam memperkasa program kelestarian bandar.
Wakil Warrior Community Shah Alam, Herwanshah Abdul Rahim berkata teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan dron akan memberi dimensi baharu kepada pembangunan komuniti, khususnya dalam sektor pertanian bandar.
“Kita mahu anak muda celik teknologi dan memahami potensi AI kerana ia mampu membantu pelbagai aspek pengurusan komuniti, termasuk pemantauan kebun menggunakan dron. Semua teknologi ini memberikan kemudahan besar kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, Warrior Community kini melaksanakan program baharu melalui Geran Sejati Madani bernilai RM100,000 yang merangkumi pembinaan 15 kolam batu serta penghasilan rumah baja menggunakan sisa soya dan kompos, sekali gus menggalakkan kitar semula dan ekonomi hijau di peringkat komuniti.
Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas menyertai forum Satu Dekad MiniZeeBee: Dari Impian ke Komuniti Mampan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.
Sementara itu, Zainuddin Tasiman memaklumkan pihaknya sedang menambah baik projek pertanian sedia ada sambil menunggu kelulusan Program Sejati Madani: Tanaman Melon Selangor, termasuk perancangan membangunkan tiga unit rumah hijau (greenhouse).
“Perancangan kita besar, namun kekangan kawasan menyebabkan pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat. Walaupun begitu, tanaman lain tetap diteruskan meskipun dalam skala kecil,” jelasnya.
Beliau menegaskan, fokus MiniZeeBee kekal untuk melahirkan komuniti bandar yang berdikari, kreatif dan lestari melalui gabungan teknologi, pertanian moden dan semangat gotong-royong.