ad

Inisiatif MiniZeeBee model kelestarian komuniti bandar

15 Okt 2025, 12:00 AM
Inisiatif MiniZeeBee model kelestarian komuniti bandar
Inisiatif MiniZeeBee model kelestarian komuniti bandar

SHAH ALAM, 15 OKT: Usaha menyatukan komuniti bandar ke arah gaya hidup mampan terus diperhebat melalui inisiatif MiniZeeBee yang menjadi platform kerjasama antara penduduk setempat dan sektor swasta dalam program hijau dan kemasyarakatan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Al-Husna, Zainuddin Tasiman berkata pelbagai pihak semakin aktif tampil menjayakan aktiviti seperti gotong-royong, pertanian bandar dan program kitar semula, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan kolektif.

“Kita lihat sendiri kesannya apabila komuniti bergerak bersama. Sebagai contoh, program istiqamah seperti iftar setiap Isnin dan Khamis di Surau Al-Husna kini menjadi rutin penduduk dengan sokongan pihak korporat,” katanya.

Menurutnya, hasil kitar semula turut digunakan untuk menghasilkan cenderamata komuniti, menjadikan aktiviti kelestarian bukan sahaja baik untuk alam sekitar malah menjana kreativiti dan ekonomi setempat.

Katanya, kejayaan itu turut mendapat pengiktirafan apabila Persatuan Penduduk Al-Husna setakat ini meraih lapan anugerah, termasuk My Place Award bagi kategori pertanian bandar baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum Satu Dekad MiniZeeBee: Dari Impian ke Komuniti Mampan di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Forum berkenaan turut menampilkan wakil Warrior Community Shah Alam, Herwanshah Abdul Rahim serta Ketua Komunikasi Korporat Media Selangor, Mahadi Mohd Mustafa.

Sementara itu, Herwanshah berkata MiniZeeBee turut menjadi pemangkin bakat dan inovasi dalam kalangan penduduk.

“Program seperti Sayur RM1 dan penanaman dalam kotak membolehkan penduduk mendapatkan hasil segar pada kos rendah. Menariknya, hampir semua inisiatif menggunakan air sebagai ‘enjin utama’, termasuk sistem parit, kolam takungan dan integriti paip komuniti,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi kisah penduduk yang berjaya mencipta mesin pembakar ikan keli serta penglibatan belia dalam projek mural komuniti.

MiniZeeBee bukan sahaja mengeratkan hubungan sosial, malah menjadi model kelestarian bandar yang menyatukan masyarakat pelbagai lapisan melalui semangat gotong-royong, inovasi dan tanggungjawab bersama.

Inisiatif seperti ini diyakini mampu menyokong aspirasi Selangor sebagai negeri pintar rendah karbon menjelang 2025.