ad

Kerajaan Negeri pertimbang perluas vaksin influenza kepada pelajar

14 Okt 2025, 11:21 AM
Kerajaan Negeri pertimbang perluas vaksin influenza kepada pelajar
Kerajaan Negeri pertimbang perluas vaksin influenza kepada pelajar
Kerajaan Negeri pertimbang perluas vaksin influenza kepada pelajar

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Selangor akan meneliti semula keperluan menyalurkan dana khas bagi memperluas pemberian vaksin influenza berikutan peningkatan kes jangkitan terutama dalam kalangan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Selangor sebelum ini melaksanakan pemberian vaksin influenza secara percuma yang bermula Februari lalu kepada kumpulan berisiko khususnya warga emas dengan satu atau lebih penyakit kronik.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan lengkap berhubung perkembangan semasa penyakit itu daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Jumaat ini.

“Saya akan membuat beberapa rujukan terhadap kes terbaharu influenza dalam laporan Jumaat nanti.

“Apa pun, paksi kita bergantung kepada cadangan daripada JKNS,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Shah Alam Urban di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga tidak menolak kemungkinan menggunakan dana di bawah inisiatif Sihat Selangor bagi membantu pelaksanaan program vaksinasi influenza jika didapati perlu.

“Saya akan tengok balik kalau ada keperluan, kita boleh lihat kosnya dan sebagainya supaya anak-anak kita dilindungi vaksin influenza.

“Di bawah inisiatif Sihat Selangor, sebenarnya wang yang ada boleh digunakan untuk pembelian vaksin termasuk vaksin influenza,” katanya.

Tambah Amirudin, beliau akan mempertimbangkan kemungkinan untuk menyediakan sokongan kewangan tambahan dana baharu dalam Belanjawan Negeri akan datang bagi tujuan itu.

Beliau juga mengakui bahawa trend peningkatan kes influenza di Selangor bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan negeri itu mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negara ini.