SHAH ALAM, 14 OKT: Ejekan lisan yang dianggap kelakar oleh ramai pihak sebenarnya menjadi antara punca utama kepada perbuatan buli di sekolah.
Penolong Pengarah Unit Pembangunan Sahsiah Murid Bahagian Pengurusan Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM), Mohd Harith Mohd Rahim@Mohd Noor berkata guru dan pentadbir tidak seharusnya memandang ringan terhadap setiap aduan yang dibuat oleh pelajar dan perlu menyelesaikan perkara itu dalam tempoh kurang lapan hari.
“Pentadbir sekolah diingatkan mengambil tindakan dalam setiap aduan yang dilakukan kerana semua jenis buli termasuk buli lisan (ejekan) adalah serius.
“KPM pernah menerima aduan daripada murid sendiri bagaimana ejekan seperti 'mak kau hijau, mak kau kuning' yang kita anggap lawak memberi kesan terhadap emosi seorang murid, sehingga kesannya mangsa ini mahu terjun bangunan," katanya, memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog awam sempena peluncuran Program Kempen Anti Buli oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Timbalannya, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
Pada masa sama, Mohd Harith menambah pentadbir sekolah tidak boleh menghakimi aduan yang dibawa oleh murid sebaliknya perlu melakukan siasatan rapi untuk mengelakkan isu bertambah serius.
"Bila pengadu mengadu, pengetua atau guru besar kena jujur dan siasat aduan itu kerana KPM mempunyai sistem dan prosedur yang sudah dibangunkan sejak bertahun lamanya.
"Pengetua dan guru besar tidak boleh mengambil masa lama untuk ambil tindakan sehingga menyebabkan pengadu tidak mahu meneruskan kes kerana aduan itu masih tidak selesai.
"Dalam sistem pelaporan kita jelas, menetapkan tujuh ke lapan hari untuk kes itu diselesaikan dan tidak boleh ditangguh," katanya.
Katanya, guru dan pentadbir sekolah adalah barisan hadapan yang melaksanakan setiap dasar yang dilakukan oleh KPM.
"Jika barisan hadapan ini tak nak buat (melaksanakan dasar KPM), bagaimana kes buli ini boleh diselesaikan. Kerana bagi KPM, buli adalah serius dan langsung tak boleh dikompromi," ujarnya.