SHAH ALAM, 14 OKT: Polis mengesahkan suspek kes tikam pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, pagi tadi sedang mengikuti kelas peralihan tingkatan satu meski berusia 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata mangsa yang berusia 16 tahun juga berada dalam kelas peralihan tingkatan tiga, lapor Berita Harian.
"Suspek terbabit berusia 14 tahun, manakala mangsa berusia 16 tahun... kedua-dua mereka belajar di kelas peralihan, jadi masing-masing kini berada di tingkatan satu dan tiga," katanya ringkas.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi tadi, mangsa dilaporkan ditikam di kawasan tandas sekolah. Suspek kemudian ditahan polis di lokasi, dan dua bilah pisau turut dirampas.
Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.