Kes tikam pelajar di Banting: Polis siasat kemungkinan pengaruh kumpulan luar

21 Jul 2026, 8:18 AM
Kes tikam pelajar di Banting: Polis siasat kemungkinan pengaruh kumpulan luar

SHAH ALAM, 21 JULAI: Polis sedang menyiasat kemungkinan wujud pengaruh komuniti atau kumpulan tertentu yang dipercayai mendorong seorang pelajar perempuan menikam rakannya di sebuah sekolah di Banting, awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan telah menjurus kepada tangkapan seorang suspek berusia 14 tahun, namun dibebaskan setelah mendapati tiada penglibatan antara suspek dan kes berkenaan.

“Siasatan untuk mengetahui sekiranya wujud komuniti ataupun kumpulan yang menjadi penyebab kepada kenapa suspek bertindak sedemikian.

“Ini mungkin membabitkan rakan yang berbincang dalam satu kumpulan borak WhatsApp ataupun yang boleh bertukar-tukar pendapat, cadangan hingga boleh mendorong suspek untuk bertindak sedemikian rupa. Ini tidak melibatkan individu di sekolah yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.

Shazeli berkata polis turut menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti bagaimana nota yang dikaitkan dengan kes berkenaan boleh tersebar di media sosial memandangkan dokumen itu merupakan sebahagian daripada eksibit kes.

“Saya juga dimaklumkan mangsa telah keluar dari hospital pada 13 Julai lepas dan kini sedang menjalani proses pemulihan dan keadaannya semakin baik dan sedang dijaga oleh keluarga di kediamannya,” katanya.

10 Julai lepas, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat atas satu pertuduhan cuba membunuh rakannya dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh juvana itu sementara menunggu laporan penilaian psikiatri gadis tersebut.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.