ad

Lawatan Trump: Malaysia kekal konsisten kecam pencerobohan Gaza

14 Okt 2025, 4:12 AM
Lawatan Trump: Malaysia kekal konsisten kecam pencerobohan Gaza

SHAH ALAM, 14 OKT: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia pada hujung bulan ini akan digunakan sepenuhnya Malaysia bagi menyatakan pendirikan menentang segala pencerobohan hak penduduk dan penjajahan Gaza dan Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain menzahirkan penghargaan ke atas perjanjian gencatan senjata di Gaza, beliau juga mahu Trump mempertimbangkan langkah susulan bag mencari penyelesaian menyeluruh.

“Tentang apa yang boleh berlaku tatkala Presiden Trump hadir pada 26 ini. Pertama tentulah kerajaan mengulangi kenyataan penghargaan atas inisiatif (gencatan senjata) dan minta tegas menghalang pencerobohan hak dan penjajahan terhadap Gaza dan Palestin,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau memaklumkan Malaysia bersedia menghantar pasukan pendamai ke Gaza bagi menjamin pelaksanaan gencatan senjata yang ditandatangani di Mesir, semalam.

Katanya perkara itu akan dibincang oleh oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum diputuskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebaik Majlis Keselamatan PBB bersetuju, Malaysia bersedia jika diminta dan diperlukan. Selama ini kita tidak pernah menolak, ada saja pasukan pendamai, kita akan kirim.

"Saya setuju pasukan pendamai ini sekurang-kurangnya yang terbaik untuk menjamin keamanan bagi Gaza," katanya.

Anwar berkata kerajaan juga akan berbincang dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi supaya memberi laluan kepada pasukan perubatan Malaysia untuk melalui negara itu bagi menghantar bantuan.

“Semalam tak dapat jawab panggilan Presiden al-Sisi. Kemungkinan besar petang ini. Kalau dapat, saya nk bincang supaya laluan diberikan melalui Mesir, melalui Rafah dan masuk sebagai pakar perubatan.

“Daripada kita bawa mereka ke sini, lebih baik kita bawa pakar-pakar kita dan bantuan merentas masuk melalui Rafah dan bantu rakyat Palestine,” katanya.