SHAH ALAM, 14 OKT: "Empat jam di bawah terik matahari tanpa setitis air," demikian pengalaman getir aktivis kemanusiaan ketika ditahan tentera Israel selepas kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan antarabangsa.
Menurut Zulfadhli Khiruddin, ketika ditahan di pelabuhan Ashdod, semua peserta misi dipaksa berdiri di bawah panas terik sebelum dibawa ke pusat tahanan untuk soal siasat.
"Ketika ditahan di pelabuhan Ashdod, semua peserta misi dipaksa berdiri di bawah panas terik tanpa diberi minuman sebelum dibawa ke pusat tahanan untuk disoal siasat.
"Kami diserahkan daripada tentera kepada polis, kemudian terus dipindahkan ke penjara," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Beliau menaiki kapal Sirius bersama 38 aktivis dari pelbagai latar belakang termasuk Ahli Parlimen dari Brazil, Argentina dan Sepanyol, selepas pelayaran lebih 40 hari dari Sepanyol ke Itali.
"Saya bersama kawan-kawan ditahan dua malam di penjara. Pada hari kedua, selepas dibawa keluar, kami menaiki kenderaan seperti Black Maria dan tiba di Ramon Airport.
"Alhamdulillah, kami selamat kembali. Terima kasih kepada rakyat Malaysia, kerajaan Malaysia, dan kerajaan Turki atas usaha membawa kami pulang," kata Zulfadhli.
Beliau yang pernah memasuki Gaza sebanyak empat kali sejak 2013 termasuk Februari 2023, lapan bulan sebelum perang meletus, menyifatkan pengalaman itu sebagai pembakar semangat untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.
"Rakyat Gaza selalu berkata, 'we are not poor, but we are broken'. Itu yang buat saya kuat," katanya.

Puji semangat solidariti aktivis antarabangsa
Zulfadhli turut memuji semangat solidariti aktivis antarabangsa yang bersama dalam misi itu, walaupun kebanyakan mereka bukan beragama Islam.
"Kita jumpa dengan ramai peserta bukan Islam yang tidak mengenali Islam, tetapi sangat mengenali rakyat Gaza dan perjuangan mereka. Sepanjang pelayaran, mereka turut terinspirasi dengan cara kami berkomunikasi.
"Mula-mula mereka tanya apa maksud insya-Allah dan Alhamdulillah. Apabila kami jelaskan maknanya, mereka kata ungkapan itu indah dan mula menggunakannya dalam kehidupan seharian mereka," ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas sokongan padu terhadap misi tersebut serta menyeru anak muda untuk meneruskan perjuangan melalui kesedaran dan suara solidariti di media sosial.
"Misi kali ini bukan sekadar untuk memecah sekatan, tetapi untuk menyedarkan dunia mengenai kezaliman di Gaza. Risiko untuk sampai ke Gaza sangat tipis, tapi suara kami tetap sampai. Itu kejayaan sebenar," tambah beliau.
Zulfadhli juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas sokongan padu terhadap misi tersebut dan menyeru anak muda untuk menyokong perjuangan Palestin melalui media sosial, perkongsian kisah, dan derma.
"Tak semua perlu ke Gaza untuk berjuang. Gunakan media sosial, kongsi kisah rakyat Palestin, derma ikut kemampuan. Setiap suara dan tindakan kecil tetap memberi makna besar,” katanya.