ad

Laporan: Empat dari 10 orang dewasa alami tekanan melampau

14 Okt 2025, 1:13 AM
Laporan: Empat dari 10 orang dewasa alami tekanan melampau

BERLIN, 14 OKT: Tahap kebimbangan, tekanan dan kemarahan meningkat di seluruh dunia dalam tempoh 10 tahun lepas, menurut satu laporan antarabangsa yang diterbitkan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Hampir empat daripada 10 orang dewasa yang disoal selidik menyatakan mereka mengalami kebimbangan yang tinggi atau tekanan melampau pada hari sebelumnya.

Kajian bertajuk "Keadaan Kesihatan Emosi Dunia 2025" itu dijalankan oleh Institut Gallup melibatkan responden berumur 15 tahun ke atas di 144 negara dan wilayah.

Pada 2024, sebanyak 39 peratus orang dewasa di seluruh dunia melaporkan mengalami kebimbangan yang tinggi pada hari sebelumnya, manakala 37 peratus melaporkan menghadapi tekanan. Jumlah ini lebih tinggi di negara yang dilanda konflik.

Walaupun kadar kebimbangan menurun sedikit dan kembali ke paras sebelum pandemik, ia masih lima mata peratusan lebih tinggi berbanding 2014.

Kesakitan fizikal dilaporkan oleh 32 peratus responden – meningkat dua mata peratusan berbanding tahun sebelumnya. Kesedihan (26 peratus) dan kemarahan (22 peratus) pula kekal tidak berubah peratusannya, namun semua nilai emosi negatif adalah lebih tinggi berbanding satu dekad lepas.

Secara global, wanita melaporkan lebih banyak kesedihan, kebimbangan dan kesakitan fizikal berbanding lelaki.

Kajian ini akan dibentangkan dalam Sidang Kemuncak Kesihatan Sedunia di Berlin pada Isnin, yang menghimpunkan ribuan ahli politik, ahli ekonomi, perniagaan dan penjawat awam bagi membincangkan usaha meningkatkan kesejahteraan global.

Walaupun peningkatan ketidakpuasan hati global sejak dekad lepas direkodkan dengan meluas, banyak pemimpin masih mengabaikannya kerana terlalu bergantung pada penunjuk ekonomi dan bukan kesihatan emosi, menurut penulis laporan.

Pengabaian ini dianggap serius kerana emosi negatif mengehadkan tumpuan, mengurangkan daya tahan dan boleh mendedahkan masyarakat kepada ketidakstabilan.

Perasaan positif bagaimanapun masih meluas di seluruh dunia disebalik tekanan yang semakin dirasai oleh ramai pihak.

--BERNAMA-dpa