ad

PM: Kerajaan mampu beri manfaat hasil tatakelola baik

13 Okt 2025, 3:48 AM
PM: Kerajaan mampu beri manfaat hasil tatakelola baik

PUTRAJAYA, 13 OKT: Kerajaan mempunyai keupayaan untuk memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat melalui Belanjawan 2026 tanpa perlu menaikkan cukai hasil penjimatan daripada tatakelola yang baik serta usaha memerangi ketirisan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedar bahawa peningkatan cukai hanya akan membebankan rakyat maka pendekatan penjimatan melalui peningkatan kecekapan dan mengurangkan ketirisan menjadi prinsip pentadbiran beliau.

"Jadi, sebelum kita fikirkan soal cukai kerana kadang-kadang ia membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan-kesilapan dalam pentadbiran kita.

"Kita harus fikir soal kerja kita dan sistem kita warisi yang sekarang ini kita tadbir... adakah ia cekap, dapat kawal ketirisan, kawal rasuah atau penyeludupan?" katanya pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.