ad

Anwar tegur pendidikan terlalu fokus akademik, abaikan pembentukan sahsiah

13 Okt 2025, 2:35 AM
Anwar tegur pendidikan terlalu fokus akademik, abaikan pembentukan sahsiah

PUTRAJAYA, 13 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sistem pendidikan negara yang terlalu menumpukan pencapaian akademik tanpa memberi perhatian mencukupi terhadap pembentukan nilai moral dan kemanusiaan.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, beliau berkata sistem sedia ada masih terikat dengan pola pemikiran barat yang menekankan aspek material dan modal semata-mata.

“Kita mewarisi sistem pendidikan dan pemahaman ekonomi yang berakar daripada pemikiran barat.

“Kalau pun nak ambil di barat, ambil keseluruhannya. Kalau dicedok hanya yang dominan pemikirannya iaitu kapitalisme sebagai ideologi, maka kefahaman anak-anak kita akan terpengaruh,” lapor Sinar Harian.

Anwar berkata, kelemahan paling ketara dalam sistem pendidikan kini ialah tumpuan kepada akademik tanpa menekankan nilai, moral dan etika.

Menurut beliau, apabila pendidikan tidak menekankan nilai, masyarakat akhirnya berdepan pelbagai masalah sosial termasuk isu buli yang semakin membimbangkan di sekolah.

Katanya, gejala tersebut menunjukkan pendidikan belum berjaya melahirkan generasi yang memahami makna empati dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Justeru, beliau menegaskan keperluan membangunkan sistem pendidikan yang menyeimbangkan ilmu dan nilai bagi melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak dan berjiwa adil.

“Pembangunan manusia harus berasaskan nilai, bukan hanya pertumbuhan material atau modal,” katanya.

Anwar turut menekankan pentingnya nilai Islam seperti keadilan, ihsan dan kepedulian terhadap golongan miskin dijadikan teras pendidikan supaya murid memahami tujuan sebenar ilmu dan kemajuan.