HULU SELANGOR, 13 OKT: Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) meninggal dunia ketika berbasikal bersendirian di hadapan sebuah stesen minyak di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur–Ipoh, Batang Kali semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Saiful Izzuwan Roslan, 39 tahun, lapor Berita Harian.
“Polis menerima maklumat kejadian sekitar jam 11.15 pagi. Siasatan awal mendapati mangsa tidak sedarkan diri ketika berbasikal dan tiada kesan kecederaan atau pergelutan ditemui pada tubuhnya,” katanya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Khadijah Nus di talian 03-60641222 atau balai polis berhampiran.
Sementara itu, MPHS dalam hantaran di Facebook menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat.