SHAH ALAM, 12 OKT: Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor terus memperkukuh peranannya sebagai platform strategik dalam melahirkan wanita berwibawa, berprinsip serta berfikiran analitikal untuk menerajui kepimpinan masa depan.
Peserta program Norhayati Umor, 39, berkata penyertaannya selama 12 bulan dalam AKW Selangor menjadi pengalaman berharga, bukan sahaja dari segi pembentukan ilmu kepimpinan, tetapi juga keupayaan berfikir secara kritikal dan strategik.
“Program ini bukan sekadar latihan kepimpinan, malah membantu kami memahami bagaimana sesuatu keputusan dibuat secara analitikal serta membina jaringan solidariti antara peserta daripada pelbagai latar belakang dalam politik, komuniti dan profesional,” katanya yang juga Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Selangor.
Menurut Norhayati, ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu akan dimanfaatkan untuk memperkukuh kepimpinan wanita dalam parti, masyarakat dan komuniti akar umbi.
"Setelah kohort keempat ini, kami yakin lebih ramai wanita tampil berani bersuara dan memimpin dalam sektor awam serta politik nasional. Kami juga berhasrat melatih generasi muda wanita agar lebih berani, yakin dan mampu memimpin perubahan," ujarnya.
Sementara itu, peserta lain Eny Zaniza Yasir, 42, menyifatkan AKW sebagai ekosistem penting pembangunan kepimpinan wanita, yang menyediakan sokongan serta peluang pembelajaran berterusan.
"AKW bukan sahaja ruang untuk mengasah bakat, malah menjadi wadah memahami dasar dan polisi negeri serta negara. Antara modul menarik ialah lawatan ke Parlimen dan sesi bersama wakil rakyat.
"Pengalaman tersebut amat berharga dan akan dipraktikkan untuk memberi manfaat lebih besar kepada komuniti wanita di Selangor," katanya.
Program AKW merupakan antara strategi utama Kerajaan Selangor dalam membina barisan kepimpinan wanita berkaliber bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam pembuatan dasar menjelang 2030.
Langkah itu membuktikan komitmen Selangor dalam memperkasa kepimpinan wanita, sekali gus memastikan pembangunan negeri kekal seimbang, progresif dan berpaksikan keadilan gender.
Terdahulu, seramai 97 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen AKW kali ketiga, selepas menamatkan pengajian selama 12 bulan di bawah tajaan penuh Kerajaan Selangor.
Sejak diperkenalkan pada 2019, program AKW telah melahirkan 345 alumni wanita berpotensi tinggi yang kini aktif memimpin dalam pelbagai bidang di seluruh negeri.