ad

KPM beri sokongan emosi kepada mangsa rogol di sekolah

12 Okt 2025, 7:00 AM
KPM beri sokongan emosi kepada mangsa rogol di sekolah

MELAKA, 12 OKT: Kementerian Pendidikan akan memberikan sokongan emosi kepada pelajar tingkatan tiga yang disyaki menjadi mangsa salah laku seksual di sebuah sekolah di sini, minggu lepas.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata ketika ini, remaja perempuan itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan mendapat sokongan emosi daripada petugas perubatan.

"Jadi, semuanya telahpun diambil tindakan oleh bahagian masing-masing, khususnya untuk perlindungan kanak-kanak (remaja) ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan kepimpinan Jabatan Pendidikan Melaka dan polis Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Beliau berkata kementerian turut menguruskan perkara berkaitan disiplin dan sokongan emosi kepada guru serta pelajar di sekolah berkenaan.

"Kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan anak-anak … kita beri tumpuan penuh kepada guru yang mengajar dan anak-anak yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Hal itu yang kita utamakan ketika ini, persiapan mereka untuk menghadapi SPM supaya tidak terganggu dengan kes ini,” katanya sambil menambah kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Mengulas mengenai empat pelajar lelaki itu pula, Fadhlina berkata mereka akan dibenarkan mengambil peperiksaan SPM bermula pada 3 Nov ini.

Semalam, Dzulkhairi mengesahkan empat pelajar tingkatan lima direman enam hari bermula dari semalam hingga 16 Okt selepas disyaki melakukan salah laku seksual terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di sini minggu lepas.

Kejadian terbabit dikatakan berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Okt lepas di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah dan perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Insiden itu terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video berkenaan daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.