SHAH ALAM, 12 OKT: Bayangkan sisa minyak gorengan semalam yang selalunya berakhir di singki kini boleh bertukar menjadi wang tunai hanya dengan beberapa langkah mudah.
Di Shah Alam, penduduk sudah merasainya melalui mesin layan diri kitar semula minyak masak terpakai yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Sejak Ogos lalu, MBSA menjadi satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia yang menyediakan tiga kios khas, masing-masing di Wisma MBSA Seksyen 14, Pusat Kitar Semula U13 dan Pusat Kitar Semula Seksyen 2.
Walaupun baharu dilancar, kios di Seksyen 2 sahaja sudah mengumpulkan lebih 2,000 kilogram (kg) minyak terpakai dalam tempoh kurang sebulan.
Kerjasama antara MBSA dan Universiti Teknologi Malaysia ini sebahagian daripada strategi pendigitalan bandar raya, selari sasaran Shah Alam sebagai Bandar Raya Pintar dan Rendah Karbon 2035.

Penolong Pengarah Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa MBSA, Nur Dini Mohd Marzuki berkata bayaran bagi setiap kilogram sisa minyak ialah RM2.50.
“Di tempat lain, serdak-serdak hasil gorengan seperti ikan, ayam atau sebagainya mungkin tidak diterima. Tetapi mesin ini boleh ditimbang sekali.
“Lebih menarik, jika hasil timbangan tidak mencapai satu kilogram, mesin ini tetap akan genapkan menjadi satu kilogram dan pengguna akan dapat RM2.50,” jelasnya kepada Media Selangor.
Permudah urusan
Sebelum ini, penduduk perlu menghantar minyak terpakai ke pusat kitar semula pada waktu tertentu dan bayaran diberi dalam bentuk baucar. Kios pintar ini menjadikan urusan lebih mudah dan pantas.
Mesin yang beroperasi 24 jam ini dilengkapi kamera litar tertutup dan pencahayaan automatik untuk keselamatan, termasuk pada waktu malam.

Langkah ini sekali gus mengelakkan penduduk menyimpan minyak lama di rumah atau membuangnya ke singki yang boleh mencemarkan sistem perparitan.
Nur Dini menambah, setiap bulan semua minyak yang dikumpulkan dihantar kepada syarikat berlesen diiktiraf Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.
“Mereka akan memproses biodiesel, menyumbang kepada agenda negara dalam menghasilkan bahan api boleh diperbaharui, termasuk untuk sektor penerbangan.
“Tapi jangan bimbang, ia tidak akan dikitar semula menjadi minyak masak baharu buat pengguna,” katanya.
Elak penipuan
Kios ini turut dilengkapi sensor pintar yang mengesan pencemaran seperti air dalam minyak. Jika terdapat campuran air, bahan kimia atau minyak tidak tulen, sistem akan menolak kemasukan tersebut dan tiada bayaran dibuat.

“Namun, sekiranya minyak itu mengandungi sedikit kesan makanan seperti ikan atau ayam, ia masih diterima.
“Apa yang penting, jangan campur dengan air atau sabun kerana ia akan menjejaskan keseluruhan kualiti minyak yang dikitar,” tambahnya.
Inisiatif ini meningkatkan kadar kitar semula minyak di Shah Alam. Pada 2023, sebanyak 273,386kg minyak dikitar semula, diikuti 287,102.7kg pada 2024 dan 257,544kg sehingga Ogos tahun ini.
Untuk menggunakan kios ini, pengguna hanya perlu muat turun aplikasi Oil2Wang di Google Play dan imbas kod Respons Pantas (QR). Selepas itu, pintu akan terbuka dan minyak boleh dimasukkan.
Bagi yang tidak mempunyai aplikasi, alternatif disediakan: WhatsApp nombor tertera di kios dan pasukan khidmat pelanggan akan membantu mendapatkan kod QR khas. Aplikasi untuk peranti Apple dijangka siap menjelang hujung 2025.