SHAH ALAM, 6 APRIL: Kerajaan Negeri berhasrat meluaskan kerjasama dengan agensi serta syarikat swasta bagi memperkasakan aktiviti kitar semula sebagai langkah penjimatan.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata tumpuan diberikan kepada penggiat industri perkilangan kerana mereka memiliki kepakaran dalam aspek kitar semula.

“Usaha ini sedang dijalankan supaya penjanaan kuantiti sampah dapat diturunkan sekali gus menjimatkan operasi kutipan. Sekarang pun kita sudah jalin kerjasama dengan beberapa syarikat, antaranya Nestle.
“Kita mahu lebih banyak pemain industri terlibat sebab matlamat kita dari dahulu memang untuk kurangkan sampah, bukan bertambah setiap tahun,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Suee Lim, sejak tahun lalu pihaknya bersama jawatankuasa alam sekitar telah menggerakkan kempen kesedaran alam sekitar kepada pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan.
“Kita mahu lakukan sebanyak mungkin aktiviti kitar semula supaya dapat jimat kos dari segi pengurusan sampah. Usaha ini juga mampu jana hasil tambahan. Dari kita terus buang, lebih baik kita kitar semula.
“Selain hebahan, kita juga akan adakan bengkel supaya orang ramai mendapat pendedahan. Kita juga anjurkan kursus yang bersesuaian tentang pentingnya kitar semula ini,” katanya.

Pada April tahun lalu, Kerajaan Selangor melalui KDEB Waste Management (KDEBWM) memeterai kerjasama dengan Nestle Malaysia untuk memperkasakan kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah.
Program SELKitar merupakan fasa baharu di bawah Projek Kutipan dan Kitar Semula Pintu ke Pintu yang diperkenalkan Nestle pada 2020 di beberapa negeri.
Program ini adalah inisiatif Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan sukarela terbesar di Malaysia dan kini sedang dilaksana membabitkan 200,000 kediaman di enam bandar raya utama.












