SHAH ALAM, 12 Okt: Sastera menjadi nadi perjuangan apabila Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menganjurkan Malam Baca Puisi PENA (MBPP) bertemakan Palestin, sebagai tanda solidariti dan harapan terhadap kebebasan bumi anbia itu.
Program yang berlangsung di Rumah PENA pada Jumaat menghimpunkan penyair, penulis dan aktivis budaya tanah air yang bersatu di bawah panji kemanusiaan melalui kata-kata dan puisi bagi menzahirkan semangat perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah padam.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata perjuangan membebaskan Palestin telah mencetuskan kesedaran global, malah hampir 80 peratus negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kini menyokong penubuhan negara Palestin.
“Apakah ini dapat dilakukan dengan desakan biasa? Sudah tentu tidak. Harus ada pimpinan yang berani. Malaysia hari ini antara negara paling kuat bersuara mengenai kebebasan rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Acara anjuran bulanan PENA itu turut mendapat kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kota Buku, serta Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Dalam ucapannya, Muhammad Kamil turut menyentuh tentang kemerosotan budaya membaca dalam kalangan masyarakat walaupun minat menulis semakin berkembang.
“Budaya membaca semakin pudar akibat kepesatan teknologi. Kini, anak-anak bertemankan YouTube, bukan lagi dengan zikir atau dodoi oleh nenek moyang seperti dahulu,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan RM1 juta kepada PENA bagi mengedarkan buku-buku terbitannya ke sekolah di seluruh negara.
“Tamadun sesebuah negara bergantung kepada kekuatan karya penulisnya. Tanpa penulis, tamadun akan terbantut,” katanya sambil berharap kerajaan menyalurkan dana tambahan bagi menyokong penerbitan karya tempatan.
Malam Baca Puisi turut diserikan dengan persembahan oleh tokoh dan penyair terkenal termasuk Amiruddin Md Ali Hanafiah (Persatuan Penulis Johor), Roslan Madun (Tokoh Syair), Usman Gumanti Ibrahim (GAPENA), Adiwangsa Sukma (penyanyi lagu puisi), Kamarul A.R. (veteran teater) dan Nurfarhana Mohd Nasir dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.