Selangor sasar transformasi menyeluruh semua PBT tahun depan

11 Okt 2025, 1:02 AM
Selangor sasar transformasi menyeluruh semua PBT tahun depan
Selangor sasar transformasi menyeluruh semua PBT tahun depan
Selangor sasar transformasi menyeluruh semua PBT tahun depan

SHAH ALAM, 11 OKT : Kerajaan Selangor menyasarkan transformasi menyeluruh di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula tahun depan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan dimaklum menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2026 atau Rancangan Selangor Kedua (RS2), akan datang.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap dalam majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun MBSA di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh memastikan segenap agensi termasuk PBT untuk mencapai satu perkhidmatan terbaik. Beberapa hari lepas kita lancarkan dasar Speed Selangor untuk memudahkan urusan perniagaan dan perkhidmatan di negeri ini.

"Tahun depan insya-Allah Kerajaan Negeri sasarkan ada satu transformasi menyeruluh di seluruh PBT, maknanya Speed Selangor bukan hanya ditumpu pada perniagaan tetapi turut menggariskan beberapa keputusan secara langsung kepada rakyat.

"Isu seperti aduan berkenaan dengan rumah, keadaan jalan, pusat latihan atau pusat rekreasi ini akan diberi perhatian dan insya-Allah akan dimaklum dalam pembentangan belanjawan atau RS2 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun MBSA di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 Oktober 2025. Hadir sama Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin turut mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran MBSA dan warga Shah Alam yang sentiasa menjadi pendukung penting kepada Bandaraya Shah Alam.

"Semoga rakyat yang berbagai kaum dan latar belakang ini terus mengharmonikan Shah Alam dan marilah kita berdoa agar bandar raya ini terus berkembang," katanya.