ad

Kerajaan umum SARA RM100, STR Fasa 4 diawalkan 18 Oktober ini

10 Okt 2025, 9:20 AM
Kerajaan umum SARA RM100, STR Fasa 4 diawalkan 18 Oktober ini

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan sekali lagi akan menyalurkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, kata perdana menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, bayaran tersebut akan disalurkan pada pertengahan Februari depan bagi membantu rakyat membuat persiapan menjelang bulan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Sukacita diumumkan, kerajaan sekali lagi akan memberikan RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Ini (RM100 SARA) akan disalurkan pada pertengahan Februari dan boleh dimanfaatkan sempena persiapan bulan Ramadan dan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Selain itu, bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 yang pada asalnya dijadualkan pada bulan November akan diawalkan pada 18 Oktober ini dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali pada 20 Oktober ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.