SHAH ALAM, 10 OKT: Hampir RM15.5 bilion hasil rampasan dan kutipan penalti berjaya diperoleh semula badan penguat kuasa bawah pentadbiran kerajaan Madani, kata perdana menteri.
Badan itu merangkumi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata polis turut berjaya menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.
"Demikian maksud kami tatkala menekankan tatakelola dalam pemerintahan. Bayangkan wang yang disakau dan dirompak yang dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah RM15.5 bilion.
"Tidak dapat dimungkiri segala ketirisan ini telah terbiar sekian lama kerana kurangnya tekad politik dan lemahnya penguatkuasaan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga menteri kewangan menambah keupayaan badan penguat kuasa akan ditingkatkan tahun depan melalui latihan serta perolehan aset dengan peruntukan lebih RM700 juta.
Katanya, JKDM akan memperkenal setem cukai digital bagi membendung pemalsuan, serta menangani ketirisan di pintu masuk negara melalui CCTV Kompleks Pemeriksaan Berpusat.
Pada masa sama, katanya, e-invois dilaksanakan secara menyeluruh tahun depan, serta sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai termasuk menyegerakan lebihan bayaran cukai.
Selain itu, kerajaan turut bercadang pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 bagi mengelak isu mengambil kesempatan.