ad

PM seru sokong usaha damai, tidak pertikai penglibatan aktivis tempatan di Gaza

10 Okt 2025, 8:06 AM
PM seru sokong usaha damai, tidak pertikai penglibatan aktivis tempatan di Gaza
PM seru sokong usaha damai, tidak pertikai penglibatan aktivis tempatan di Gaza

PUTRAJAYA, 10 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya tidak mempertikai penglibatan aktivis tempatan dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin dan kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.

Beliau berkata ketika seluruh dunia termasuk Mesir, Qatar dan Hamas memberi tumpuan terhadap usaha mencari jalan damai, rakyat Malaysia sepatutnya turut mendoakan kejayaan usaha itu, dan bukannya menimbulkan polemik politik tidak sihat.

"Tumpuan satu dunia termasuk Mesir, Qatar dan Hamas ialah cari jalan memastikan proses perdamaian ini berhasil... jadi, kita di Malaysia pun begitu, doakan.

"Jangan timbulkan umpamanya, bantah lawatan (Trump) kerana kita sekarang minta semua negara termasuk rayuan kita kepada Trump supaya memastikan perjanjian ini dimeterai dan dilaksanakan," katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau di Presint 11 di sini hari ini.

Anwar berkata jika Hamas sendiri menunjukkan komitmen ke arah perdamaian, tidak wajar ada pihak di dalam negara ini cuba menimbulkan perbalahan.

"Kita tentunya mendoakan tetapi kita nak capai (matlamat perdamaian)... ini juga maklumat daripada Hamas... jadi, kalau Hamas pun nak perdamaian, yang kita dok ajak gaduh, sebab apa?

"Orang dibunuh, negeri dijajah, anak-anak kecil dan wanita terus dibunuh... jadi, kita nak hentikan itu dulu," katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan ke Gaza menerusi flotila kemanusiaan, dan menyifatkan keberanian mereka sebagai pengorbanan besar.

"Tak semua orang sanggup gadai nyawa, bertarung untuk bantu rakyat Gaza... jadi, yang bantu, kita ucap terima kasih dan doakan (mereka)... inilah sikap yang sepatutnya ada dalam kalangan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai sembilan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan yang ditahan rejim Israel pada 8 Oktober lalu, Anwar berkata urusan membawa pulang mereka sedang diuruskan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

"Kita doakan... insya-Allah, mereka akan sampai ke Istanbul... dia (wakil Turkiye) janji telefon pukul 3.30 petang ini... jadi, saya umum (perkembangan lanjut) dalam Belanjawan nanti," katanya.

Media sebelum ini melaporkan penerbangan yang membawa 95 individu dipercayai aktivis misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) termasuk sembilan rakyat Malaysia dijangka tiba di Turkiye hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama hampir 500 jemaah selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.

Ketibaan beliau, yang lengkap berbaju Melayu dan bersampin berona biru muda serta bersongkok, disambut mesra oleh pengurusan masjid, jemaah dan pelajar sekolah.

Solat Jumaat itu dipimpin oleh imam Ustaz Khairul Anuar Mohd Saruwan dan Anwar turut mendengar khutbah bertajuk "Lelaki Qawwam Bukan Sekadar Nama".

Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 4 petang ini.

Belanjawan 2026: "Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat" dijangka menjadi penanda aras penting bagi kesinambungan dasar ekonomi MADANI, yang bukan sekadar menekankan angka fiskal tetapi juga nilai kemanusiaan, tanggungjawab dan kesejahteraan rakyat.

Belanjawan MADANI Keempat itu dibina atas usaha kerajaan memperkukuh tatakelola bagi menoktahkan ketirisan dan mengembalikan hasil penjimatan kepada rakyat terbanyak.

- BERNAMA