ad

Nazir Razak: ASEAN perlu laksana langkah kecil yang berkesan

9 Okt 2025, 6:59 AM
Nazir Razak: ASEAN perlu laksana langkah kecil yang berkesan
Nazir Razak: ASEAN perlu laksana langkah kecil yang berkesan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: ASEAN perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan langkah kecil yang konkrit dan mampu menghasilkan pencapaian yang ketara, kata Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Tan Sri Nazir Razak.

Beliau menegaskan laporan konseptual dan visi jangka panjang kurang memberi impak sekiranya rantau itu tidak melaksanakan tindakan yang jelas dan praktikal.

“Dengan penuh hormat, saya kurang memberi perhatian kepada laporan besar atau kajian makro jangka panjang. Terlalu mudah untuk berjanji sesuatu yang kononnya akan berlaku dalam tempoh 20 tahun, tetapi kekal hanya sebagai konsep.

“Apa yang kita perlu lakukan ialah memperincikan langkah khusus tindakan masa hadapan,” katanya ketika berucap pada pembukaan Selangor ASEAN Business Conference (SABC) di sini hari ini.

Beliau memberi contoh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai inisiatif antara wilayah yang menunjukkan bagaimana integrasi serantau boleh digerakkan dengan lebih berkesan berbanding usaha mencari konsensus dalam kalangan semua 10 negara anggota.

“Adalah sukar untuk melaksanakan agenda ASEAN pada peringkat makro memandangkan banyak negara dan kepentingan yang berbeza.

“Namun, apabila dilaksanakan di peringkat mikro atau subserantau, kita mampu mencapai banyak kemajuan. Apabila kemajuan itu dapat dibuktikan, ia boleh mencetuskan lebih banyak integrasi pada masa depan,” ujar beliau.

Nazir turut menyebut permintaan terkini Indonesia untuk menyertai inisiatif tersebut sebagai tanda potensinya sebagai pemangkin pertumbuhan akan datang.

Di bawah Malaysia tahun ini, ASEAN-BAC telah menggerakkan 12 inisiatif termasuk cadangan dasar khusus seperti penubuhan entiti perniagaan ASEAN dan pengenalan prospektus penyenaraian awam awal (IPO) ASEAN, yang kini sedang dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Insya-Allah, kita akan melihat beberapa kemajuan tahun ini, dan diharapkan di bawah pengerusian Filipina pada 2026, usaha ini dapat diteruskan,” katanya.

Majlis itu juga menghasilkan lima laporan untuk kerajaan yang menumpukan bidang utama termasuk mobiliti bakat, pembangunan pasaran swasta dan pelaporan kelestarian, selain menubuhkan empat platform baharu iaitu ASEAN Private Market Council, Malaysia AI Private Sector Council, Malaysia Carbon Credit Association, serta ASEAN CSR Council yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Sekali lagi, ini menunjukkan hasil kerja yang nyata. Kita bukan sekadar berbicara dalam konsep, tetapi jelas bahawa kita mesti bergerak ke hadapan dan kita sudah pun bergerak,” tegasnya.

SABC diadakan bersempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula semalam hingga Sabtu ini.