KUALA LUMPUR, 9 OKT: Cadangan menubuhkan Bank Pembangunan Asean wajar diberi pertimbangan serius bagi memastikan pertumbuhan serantau yang mampan dan mengukuhkan hubungan negara anggota.
Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean Tan Sri Nazir Razak berkata institusi sedemikian diperlukan berikutan wujudnya jurang ekonomi yang ketara dalam kalangan negara Asean.
Bercakap kepada media hari ini, beliau menjelaskan bank tersebut yang dicadangkan, akan menumpukan pembiayaan projek pembangunan infrastruktur dalam kalangan negara anggota Asean.
“Saya fikir kini masa yang tepat untuk kita mempertimbangkan secara serius penubuhan Bank Pembangunan Asean, seperti mana Eropah mempunyai Bank Pelaburan Eropah (European Investment Bank).
“Pada masa ini kita hanya mempunyai Bank Pembangunan Asia (ADB), tetapi melihat aspirasi Asean, saya percaya kita memerlukan bank pembangunan sendiri, berkhidmat untuk rantau Asean,” katanya.
Beliau menjawab soalan berhubung langkah mengurangkan jurang ekonomi antara negara Asean sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Bank pembangunan serantau ialah institusi kewangan yang menyediakan pembiayaan dan bantuan teknikal untuk menyokong pertumbuhan ekonomi serta projek infrastruktur dalam wilayah tertentu.
Terdahulu, Nazir menekankan wujud jurang ekonomi besar dalam kalangan negara Asean, dengan menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Singapura sekitar AS$90,000 (RM379,215), berbanding kurang AS$2,000 (RM8,427) di Laos.
“Ini menunjukkan terdapat perbezaan ketara dalam pembangunan. Kita perlu memikirkan cara untuk menyalurkan lebih banyak pelaburan ke negara anggota yang kurang membangun,” katanya.