ad

Kerajaan pertimbang gelombang kedua misi kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah

9 Okt 2025, 12:25 AM
Kerajaan pertimbang gelombang kedua misi kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah

SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan sedia mempertimbangkan permintaan untuk melaksanakan gelombang kedua misi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir.

Perdana Menteri memaklumkan akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, bagi membincangkan strategi memecahkan tembok di Rafah untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau turut merancang mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) minggu hadapan bagi membincangkan pelaksanaan gelombang kedua penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan darat di Mesir.

“Minggu depan, selepas (pembentangan) Belanjawan 2026, antara Isnin atau Selasa, kita panggil Sani (Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby) dan Nuri (Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman) bersama-sama rakan lain untuk kita bincang strategi ke Mesir dan misi pecah tembok Rafah.

“Insya-Allah, selepas rundingan itu, saya akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. Mudah-mudahan laluan itu dapat dibuka dengan lebih mudah. Yang penting, mesej kita jelas iaitu menyokong perjuangan Gaza dan rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Perdana Menteri menegaskan, dunia tidak boleh terus membisu terhadap penindasan yang dialami rakyat Palestin dan perlu bersatu mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat.

“Dunia bukan lagi dalam zaman kezaliman. Ini zaman tamadun, dan mereka mesti bebas untuk mendapat makanan, minuman, rawatan perubatan, pendidikan serta kebebasan beribadah seperti rakyat di mana-mana negara lain,” katanya.

Pada Khamis, seramai 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan zon merah Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Mereka dilaporkan dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia, Sabtu lalu, sebelum tiba di Istanbul pada jam 8.40 malam. Mereka kemudiannya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada Selasa.