ad

Turkiye bantu usaha bebaskan sembilan aktivis Malaysia ditahan Israel - Anwar

9 Okt 2025, 12:00 AM
Turkiye bantu usaha bebaskan sembilan aktivis Malaysia ditahan Israel - Anwar
Turkiye bantu usaha bebaskan sembilan aktivis Malaysia ditahan Israel - Anwar

SHAH ALAM, 9 OKT: Turkiye akan membantu usaha membebaskan sembilan aktivis Malaysia daripada Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang ditahan rejim Zionis Israel pada pagi Rabu, demikian dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu disampaikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan melalui Menteri Luar negara itu, Hakan Fidan, kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Sahabat saya Erdogan baru sahaja mengirim mesej melalui menteri luarnya kepada Mohamad Hasan.

“Insya-Allah, Turkiye akan terus membantu dalam usaha membebaskan sembilan aktivis tersebut,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Terdahulu, sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan berkenaan dilaporkan dipintas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di perairan antarabangsa ketika menghampiri zon merah Gaza sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia, pada Rabu.

Kapal Conscience milik FFC membawa lapan aktivis Malaysia iaitu Ketua Misi, Prof. Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr. Fauziah Hassan; Dr. Hafiz Sulaiman; Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil; Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh; Dr. Noorhasyimah Ismail; dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Seorang lagi rakyat Malaysia dilaporkan berada di atas kapal layar Umm Saad.

Misi FFC x TMTG disertai 150 peserta dari 25 negara, termasuk sembilan rakyat Malaysia, dengan tujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza yang kini berdepan sekatan berterusan oleh rejim Zionis.