ad

15.7 juta rakyat manfaat bantuan SARA, RM1.34 bilion dibelanjakan

9 Okt 2025, 1:15 AM
15.7 juta rakyat manfaat bantuan SARA, RM1.34 bilion dibelanjakan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Seramai 15.7 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas membelanjakan bantuan sekali beri Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sejak ia mula disalurkan pada 31 Ogos 2025 sehingga 6 Okt, 2025 bagi membeli barangan asas.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen berkata jumlah itu bersamaan 71 peratus daripada keseluruhan 22 juta penerima bantuan Penghargaan SARA.

“Jumlah transaksi setakat ini juga mencecah RM1.34 bilion. Kapasiti sistem pembayaran SARA melalui penambahbaikan ketara bagi menangani lonjakan transaksi susulan pelaksanaan Penghargaan SARA dan bantuan SARA bulanan iaitu penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Daripada rekod 540 transaksi diluluskan seminit pada April 2025, sistem kini mampu memproses hampir 2,700 transaksi diluluskan seminit dengan lancar,” menurut kementerian itu.

MOF berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ) yang meminta kementerian menyatakan isu-isu utama yang dihadapi oleh pihak pekedai dan rakyat berhubung pelaksanaan SARA RM100 sekali beri serta langkah segera kerajaan untuk memudahkan pelaksanaan inisiatif tersebut.

Sementara itu, kementerian itu turut menjawab soalan berasingan yang diajukan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN- Larut) mengenai kedudukan fiskal negara setelah kerajaan melaksanakan pelbagai skim bantuan tunai dan penstrukturan subsidi serta kebarangkalian negara berisiko berdepan defisit fiskal yang lebih besar.

MOF memberitahu, pada 2025, kerajaan kekal yakin sasaran defisit fiskal 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dicapai sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2025 walaupun negara terus berdepan dengan beberapa risiko luaran.

“(Ini) termasuk ketidaktentuan geopolitik antarabangsa dan pelaksanaan tarif import oleh Amerika Syarikat yang boleh memberi kesan kepada perdagangan dunia.

“Kesemua bantuan dan program kerajaan dapat dilaksanakan menerusi pengurusan fiskal yang berhemah selain dasar monetari yang responsif dan menyediakan ruang dasar yang mencukupi bagi menyokong kestabilan serta daya tahan ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA

TAG: Dewan rakyat, Kementerian Kewangan, SARA, fiskal, KDNK