ad

KWSP rekod 16.5 juta pencarum, caruman RM 1.3 trilion setakat Ogos

8 Okt 2025, 6:53 AM
KWSP rekod 16.5 juta pencarum, caruman RM 1.3 trilion setakat Ogos

SHAH ALAM, 8 OKT : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja merekodkan jumlah ahli seramai 16.5 juta orang dengan caruman RM1.31 trillion setakat 31 Ogos tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying pada persidangan Dewan Rakyat hari in berkata jumlah caruman itu adalah peningkatan sebanyak 9.9 peratus berbanding RM1.20 trilion pada 2024 dan RM1.01 trilion (2023).

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 9.0 juta atau 55 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP adalah merupakan ahli aktif dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.07 trilion.

"Sebanyak 38.8 peratus daripada ahli aktif berusia 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.

"Pencapaian ini adalah peningkatan yang baik berbanding 30.4 peratus pada akhir 2022 iaitu kesan daripada pengeluaran berkaitan Covid-19," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse berhubung jumlah caruman dan bilangan pencarum KWSP terkini dan jangka hayat semasa rakyat Malaysia dan usia persaraan.

Dalam pada itu, Lim berkata situasi ketidakcukupan simpanan persaraan dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti struktur gaji rendah dan pengeluaran persaraan pada usia 55 tahun yang disifatkan tidak relevan.

"Kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang rendah menyebabkan kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dan persaraan juga merupakan salah satu faktor.

"Justeru, pelbagai inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan KWSP dalam menangani cabaran dan faktor ini sebagai langkah berterusan bagi membantu ahlinya mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan mereka," katanya.