SEPANG, 8 OKT: Walaupun misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak berjaya menembusi sekatan Gaza, usaha itu dianggap berjaya menyedarkan dunia dan mencetuskan gelombang solidariti baharu terhadap rakyat Palestin.
Aktivis kemanusiaan Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata misi berkenaan menghidupkan semula kesedaran global selepas dua tahun menyaksikan kekejaman berterusan di Gaza.
“Kita mungkin tidak berjaya menembusi sekatan, tetapi kita berjaya ‘memecahkan kesunyian’.
Selama dua tahun rakyat Palestin hidup dalam suasana genosid — mereka perlukan suara dan sokongan daripada seluruh dunia,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, menegaskan perjuangan membebaskan Gaza adalah usaha bersama seluruh manusia yang cintakan keamanan dan keadilan.
“Kita buktikan bahawa pembebasan Gaza bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Enough is enough. Hari ini kita pulang dengan membawa mesej kesatuan hati bahawa gelombang solidariti dari Malaysia kini bergema di seluruh dunia,” katanya penuh semangat.
Beliau turut memaklumkan perjuangan itu tidak akan terhenti, sebaliknya diteruskan dengan gelombang kedua solidariti yang bakal diumumkan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.
Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, berlayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Bagaimanapun, semua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia ditahan rejim Zionis pada 2 Oktober lalu selepas kapal mereka dipintas di perairan zon merah R3, Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Asdod, Israel.