ad

Kos urus sisa pepejal tinggi, kegagalan bayar cukai taksiran jejas perkhidmatan PBT

8 Okt 2025, 5:30 AM
Kos urus sisa pepejal tinggi, kegagalan bayar cukai taksiran jejas perkhidmatan PBT

SHAH ALAM, 8 OKT: Jalan yang rata, lampu jalan yang terang, kutipan sampah yang teratur serta sistem perparitan yang lancar , semua kemudahan asas ini sebenarnya bergantung kepada kutipan cukai taksiran (cukai pintu) yang dibayar oleh penduduk.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim, berkata cukai taksiran merupakan “nadi” kepada operasi pihak berkuasa tempatan (PBT), serta menjadi asas penting bagi mewujudkan bandar yang selamat, pintar dan maju.

“Kalau kita mahu bandar yang lebih bersih, lebih selamat dan lebih selesa didiami, kuncinya bukan pada slogan — tetapi pada kesedaran membayar cukai tepat pada masanya,” katanya kepada Media Selangor.

Suee Lim menjelaskan bahawa 12 pihak berkuasa tempatan di Selangor memerlukan peruntukan besar setiap tahun untuk menampung kos pentadbiran serta pembangunan, termasuk penyelenggaraan jalan, sistem perparitan, lampu jalan, kutipan sampah dan landskap taman awam.

“Semua perbelanjaan ini ditanggung oleh kerajaan tempatan. Oleh itu, sumber hasil yang stabil amat penting, dan lebih 70 peratus daripada hasil tahunan diperoleh melalui cukai taksiran,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya semakin ramai pemilik premis gagal membayar cukai, keadaan ini akan menjejaskan kewangan PBT dan akhirnya penduduk sendiri yang akan menanggung kesannya.

“Tanpa pendapatan yang mencukupi, perkhidmatan tidak dapat dilaksanakan dengan baik — jalan tidak dibaiki, sampah tidak dikutip, taman tidak diselenggara,” ujarnya.

40 peratus hasil dibelanjakan untuk pengurusan sisa pepejal

Ng mendedahkan bahawa pengurusan sisa pepejal merupakan salah satu perbelanjaan terbesar kerajaan tempatan. Setiap hari, Selangor perlu mengurus sekurang-kurangnya 7,500 tan sampah, dan kos ini menelan hampir 40% daripada hasil tahunan PBT.

“Ini menunjukkan bahawa pembayaran cukai bukan sekadar tanggungjawab, tetapi juga kunci utama bagi memastikan kelancaran perkhidmatan awam. Jika kutipan hasil tidak mencukupi, yang paling terjejas ialah perkhidmatan kutipan sampah, kebersihan awam dan penyelenggaraan kemudahan,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa gembira kerana selepas semakan kadar cukai taksiran tahun ini, kadar pembayaran meningkat, menunjukkan kesedaran rakyat semakin baik.

“Kami berharap trend ini dapat diteruskan supaya lebih ramai membayar cukai mengikut dua penggal tahunan,” tambahnya.

Suee Lim turut mengingatkan bahawa pemilik yang gagal membayar cukai taksiran dalam tempoh lama boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Biasanya PBT akan menghantar notis peringatan dan memberi masa secukupnya kepada pemilik. Namun, bagi kes yang berlarutan satu hingga dua tahun, tindakan seperti penyitaan, penguncian premis atau lelongan harta boleh diambil mengikut keperluan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa hanya melalui kesedaran dan tanggungjawab bersama rakyat, kerajaan tempatan dapat terus menyediakan persekitaran hidup yang lebih selamat, bersih dan berkualiti untuk semua.