SHAH ALAM, 8 OKT: Kegagalan membayar cukai taksiran bukan perkara kecil! Pemilik premis yang terus mengabaikan notis tuntutan diingatkan boleh dikenakan waran tahanan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), yang memberi kuasa untuk menyita dan melelong harta bagi melangsaikan tunggakan cukai.
Ahli majlis yang ditemu bual oleh Media Selangor menjelaskan bahawa cukai taksiran merupakan antara sumber pendapatan utama kerajaan tempatan , merangkumi lebih 70% hasil kewangan yang digunakan untuk perkhidmatan awam seperti penyelenggaraan jalan raya, sistem perparitan, dan kutipan sampah.
Menurut mereka, peningkatan tunggakan cukai bukan sahaja menjejaskan operasi kewangan PBT, malah memberi kesan kepada pembangunan kawasan serta kualiti hidup penduduk. Pemilik yang gagal membayar cukai melebihi dua tahun kini dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan pada bila-bila masa.
Mereka memaklumkan bahawa selain menghantar pasukan kutipan khas ke lapangan, PBT juga akan mengeluarkan Notis Merah (Notis Tuntutan) kepada pemilik yang gagal menjelaskan cukai selepas beberapa peringatan. Sekiranya tunggakan masih tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan lebih tegas akan diambil termasuk penyitaan serta lelongan harta.

Kuala Langat: Gagal bayar lebih dua tahun boleh disita
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kulala Langat (MPKL) Jacky Ang Eu Liang berkata sehingga 30 Jun tahun ini, jumlah tunggakan cukai taksiran di kawasan pentadbiran MPKL mencecah RM15.99 juta, melibatkan 14,194 rumah teres dan 1,625 unit berstrata.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan bergantung kepada tempoh tunggakan. Pemilik yang gagal membayar lebih dua tahun akan menerima Notis Merah, dan jika masih ingkar, PBT boleh menggunakan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mengeluarkan waran tahanan dan menyita harta bagi menampung tunggakan.
“Tunggakan melebihi tiga penggal (lebih dua tahun) sudah mencukupi untuk tindakan penyitaan diambil. Saya menyeru penduduk supaya membayar cukai taksiran tepat pada masanya,” katanya.
Beliau menambah, pihak berkuasa biasanya tidak akan mengunci premis; kebanyakan pemilik akan memilih untuk melunaskan bayaran atau memohon ansuran selepas menerima tindakan penguatkuasaan. Cukai taksiran dibayar dua kali setahun, dan kini boleh dijelaskan secara atas talian. Pembayar tepat masa juga layak menerima hadiah kecil, manakala kelewatan akan dikenakan denda RM20.
Katanya lagi, hasil tambahan daripada semakan kadar cukai tahun ini akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur dan memperkukuh perkhidmatan awam demi manfaat rakyat.

Kajang: Penyitaan boleh dilakukan tanpa perintah mahkamah
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dickson Tan, menjelaskan bahawa MPKj biasanya menjalankan operasi penguatkuasaan secara bergilir di setiap mukim, dengan tumpuan kepada pemilik yang mempunyai tunggakan lebih dua tahun.
Menurutnya, di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, proses penguatkuasaan melibatkan beberapa peringkat, bermula dengan penghantaran notis tuntutan, pelekat amaran, dan seterusnya tindakan penyitaan harta jika pemilik masih gagal membuat bayaran.
“Sebagai contoh, jika tunggakan berjumlah RM3,000, pihak berkuasa boleh menyita barangan rumah yang bernilai setara. Jika masih gagal menjelaskan baki, harta tersebut akan dilelong. Proses penyitaan tidak memerlukan perintah mahkamah, namun tindakan mengunci rumah jarang diambil,” katanya.
Selayang: Pasukan kutipan khas turun padang
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS) U Chin Ong, berkata pembayaran cukai taksiran perlu dibuat sebelum 28 Februari dan 31 Julai setiap tahun. Pemilik yang menerima Waran Tahanan perlu menjelaskan RM120; bagaimanapun, denda RM20 boleh diketepikan jika bayaran dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, PBT akan menghantar pasukan kutipan khas untuk menjejak pemilik yang gagal membayar. Sekiranya mereka terus berdegil, Notis Merah akan dikeluarkan.
“PBT juga mempunyai kuasa untuk memfailkan kes di mahkamah, mengunci premis atau melelong harta, tetapi kerana proses ini memakan masa dan kos, ia biasanya hanya dilaksanakan bagi kes tunggakan besar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebahagian pemilik rumah di kampung baru sebelum ini menikmati pengecualian cukai taksiran. Namun, selepas dasar disemak, mereka kini perlu memohon semula pengecualian tersebut bagi mengelakkan tunggakan tanpa disedari.
Apa itu Cukai Taksiran (Cukai Pintu)
Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171):
Seksyen 39: Cukai taksiran merupakan salah satu sumber utama hasil kerajaan tempatan yang digunakan untuk penyediaan kemudahan awam dan perkhidmatan komuniti seperti penyelenggaraan jalan, sistem perparitan dan kutipan sampah.
Seksyen 127: Pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa sah untuk mengenakan cukai taksiran.
Seksyen 137(3): PBT boleh menyemak semula nilai tahunan harta setiap lima tahun.
Langkah penguatkuasaan terhadap tunggakan cukai taksiran:
Notis Tuntutan – Peringatan untuk menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan
Amaran Akhir – Arahan membayar penuh dalam masa tertentu
Waran Tahanan – Kuasa untuk menyita harta pemilik
Lelong Harta– Harta yang disita akan dilelong bagi melangsaikan tunggakan