PUTRAJAYA, 7 OKT: Lebih 100 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjalani latihan serta kursus khas bagi memperkukuh kesiapsiagaan pasukan dalam menangani insiden kebakaran melibatkan kenderaan elektrik (EV).
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pegawai terlatih itu akan berperanan sebagai jurulatih utama dan ditugaskan ke setiap negeri bagi menyampaikan kaedah berkesan dalam menangani kebakaran EV kepada anggota.
Beliau berkata JBPM juga telah mengeluarkan garis panduan berhubung kaedah memadam kebakaran kenderaan EV secara betul dan berkesan, termasuk kejadian di lokasi pengecasan mahupun kawasan terbuka.
"JBPM turut melengkapkan semua balai bomba dengan peralatan khusus seperti selimut api antaranya melalui sumbangan daripada pihak swasta dan pengeluar EV,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam ke ibu pejabat JBPM di sini hari ini.
Selain itu, Nor Hisham berkata JBPM bersama rakan antarabangsa sedang merangka garis panduan bagi pelupusan bateri EV yang mencapai tamat hayat kerana penggunaan bateri gantian tidak berkualiti boleh mendatangkan bahaya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata sebanyak 27 kes kebakaran membabitkan kenderaan EV dan hibrid direkodkan JBPM dari 2023 hingga Julai lepas, dengan purata 10 kes setahun di seluruh negara.
Aiman Athirah berkata meskipun penggunaan EV dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan lebih mesra alam, kenderaan jenis itu masih berisiko tinggi untuk terbakar.
Sementara itu, Nor Hisham berkata Mohd Ali mahu JBPM menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) khususnya dalam bidang penyelidikan teknologi bateri dan lain-lain.
“(Selain itu) permohonan khas (Mohd Ali) ialah untuk JBPM mendidik ataupun melaksanakan pendidikan keselamatan kebakaran untuk sekolah tahfiz di Melaka,” katanya.