ad

FAM tegaskan gambaran dalam keputusan FIFA tidak tepat

7 Okt 2025, 9:26 AM
FAM tegaskan gambaran dalam keputusan FIFA tidak tepat

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan gambaran yang diberikan dalam keputusan Persekutuan Bolasepak Antarbangsa (FIFA) adalah tidak tepat.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan pemain ‘memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu’ adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini dan kesemua tujuh pemain warisan terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.

“Seperti telah dijelaskan sebelum ini, kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission iaitu ralat pentadbiran (administrative error), apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Rayuan rasmi kini sedang disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia. FAM akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan ini dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih,” demikian menurut kenyataan itu.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan berkenaan.

Terkini, FIFA menerusi laporan siasatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA (Sekretariat) bertarikh 6 Okt 2025 antaranya mendapati beberapa pemain di bawah FAM telah menggunakan dokumen palsu bagi mengelak dan memintas peraturan badan itu, bagi membolehkan mereka mewakili Harimau Malaya.