ad

KKM cadang naik cukai vape hingga RM4 sebelum diharam sepenuhnya

7 Okt 2025, 5:33 AM
KKM cadang naik cukai vape hingga RM4 sebelum diharam sepenuhnya

SHAH ALAM, 7 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengemukakan cadangan menaikkan cukai rokok elektronik atau vape dari 40 sen hingga RM4 per mililiter (ml) nikotin sebelum pengharaman sepenuhnya.

Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2026.

“Satu batang rokok bersamaan 10 puff (sedutan), 1 kotak rokok 200 puff setiap kotak, 1ml cecair vape bersamaan 100 puff.

“Kadar cukai yang dicadangkan pada cukai cecair vape dari 40 sen ke RM4 setiap ml, cadangan dari pihak KKM agar dapat diterima pihak MOF,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada KKM akan mencadangkan kenaikan cukai vape menerusi Belanjawan 2026 sebagai langkah segera sebelum pengharaman sepenuhnya dilaksanakan.

Dalam pada itu, Lukanisman memberitahu KKM akan mengemukakan memorandum Jemaah Menteri untuk penguatkuasaan pengharaman sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape kepada Kabinet, tahun ini.

“Kita pernah berusaha menggubal peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) sebelum ini, tetapi ahli parlimen mempunyai pendapat berbelah bahagi mengenai pengharaman keseluruhan vape.

“Maka terjadilah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) dan kita ingin menggunakan akta ini untuk secara konsisten melakukan penguatkuasaan dengan lebih tegas,” jelasnya menjawab soalan tambahan Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang).

Menurutnya lagi, kerajaan membelanjakan RM223 juta pada 2024 untuk merawat penyakit E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury atau Evali yang berpunca daripada penggunaan rokok elektronik tersebut.

“Daripada segi hasil, kutipan cukai vape pada tahun 2024 berjumlah RM111 juta. Ini menunjukkan beban kos kesihatan jauh melebihi manfaat fiskal.

“Pendekatan pengharaman akan dilaksanakan secara berperingkat dengan penguatkuasaan, pendidikan dan sokongan masyarakat sebagai komponen penting.

"Peranan NGO dan komuniti juga akan digerakkan bagi mengurangkan permintaan dan membentuk perubahan tingkah laku,” ujarnya lagi.