SHAH ALAM, 20 JAN: Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan semua negara walaupun mengambil pendirian tegas terhadap isu antarabangsa, termasuk konflik di Gaza dan situasi di Venezuela, kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap keputusan dibuat berasaskan pertimbangan diplomasi dan rundingan dengan negara jiran, meskipun pendirian itu dipertikai oleh sesetengah pihak.
"Malaysia tidak terkecuali terdedah dengan tekanan tetapi kita perkukuh kerjasama rantau ASEAN iaitu kesepakatan dalam isu-isu dasar kemudian buat jaringan.
"Kita tingkatkan hubungan supaya tekanan keterlaluan diselamatkan dengan menguatkan hubungan antarabangsa dan mengekalkan hubungan diplomasi bijaksana iaitu tidak mengambil permusuhan dan tahu batasan. Sebab itu isu melibatkan Venezuela dan Iran, pendirian kita tegas tidak bersetuju kerana melanggar prinsip.
"Kita ini negara sederhana yang mempunyai kekuatan yang juga sangat sederhana. Setiap tindakan mengambil kira rundingan bersama negara jiran dan sebagai orang yang diamanahkan, sudah tentu saya juga ada kebimbangan, bukan soal peribadi, tetapi daripada negara, “ katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman berhubung Malaysia terdedah dengan tekanan ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga menteri kewangan memaklumkan Malaysia tidak perlu meminda undang-undang sedia ada bagi terus kekal pendirian sebagai negara berkecuali dalam suasana perkembangan geopolitik pada masa kini.
Jelasnya, setelah merujuk kepada peguam negara dan perjanjian dahulu serta dasar yang dirangka, penggubalan dasar negara tidak perlukan pindaan asalkan seiring dengan perlembagaan.
Berhubung Lembaga Damai Gaza disyorkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Anwar menjelaskan jemaah menteri akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini bagi membincangkan kemungkinan dijemput menyertainya.
"Kita ikuti dekat usul dibawa dan menyokong dasar ke arah pendamaian, Cuma menjadi keutamaan serangan dihentikan...walaupun perjanjian dibuat tetapi serangan Israel masih berterusan.
"Jemaah menteri akan bermesyuarat Jumaat ini dan meneliti serta mendapatkan senarai penuh (penyertaan)," katanya.


