ad

Warta proklamasi bubar DUN Sabah dikemuka kepada SPR tempoh terdekat - speaker

6 Okt 2025, 9:42 AM
Warta proklamasi bubar DUN Sabah dikemuka kepada SPR tempoh terdekat - speaker

KOTA KINABALU, 6 OKT: Warta proklamasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata ia akan diserahkan selepas beliau menerima proklamasi pembubaran DUN daripada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan diwartakan.

“Kita akan kemukakan warta proklamasi itu secepat mungkin kepada SPR. Namun, setakat ini saya belum terima proklamasi pembubaran tersebut.

“Selepas menerima proklamasi pembubaran DUN daripada Ketua Menteri, barulah kita (DUN Sabah) akan membawa sendiri ke Jabatan Cetak untuk diwartakan dan seterusnya kemukakan dan memaklumkan kepada SPR,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

DUN Sabah dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Hajiji membuat pengumuman pembubaran berkenaan selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

-- BERNAMA