ad

TERKINI: Hajiji jumpa wakil rakyat kerajaan petang ini

6 Okt 2025, 4:50 AM
TERKINI: Hajiji jumpa wakil rakyat kerajaan petang ini

SHAH ALAM, 6 OKT: Sabah terakhir kali mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020 susulan pembubaran DUN oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Shafie Apdal.

12.55 tengahari: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dijadual mengadakan perjumpaan bersama wakil rakyat kerajaan di Dewan Bankuasi, Aras 3, Menara Kinabalu pada jam 2 petang ini.

Perkara itu disahkan Jabatan Ketua Menteri Sabah menerusi jemputan liputan media yang diedarkan pagi tadi.

10.15 pagi: Spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin memuncak selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilihat menghadiri pertemuan rasmi bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman pagi tadi, lapor Astro Awani.

Pertemuan tertutup yang berlangsung selama sejam itu diadakan di Istana Seri Kinabalu dan berakhir sekitar jam 10.15 pagi.

Kehadiran Hajiji ke Istana Seri Kinabalu direkodkan seawal jam 8.51 pagi menaiki kenderaan rasmi, sebelum meninggalkan perkarangan istana sambil menunjukkan isyarat bagus kepada wakil media yang menunggu.

Difahamkan, pertemuan berkenaan bertujuan untuk mendapatkan perkenan Tun Musa bagi pembubaran DUN Sabah ke-16 menjelang tempoh matang penggal pada 11 November ini.

Menurut Perlembagaan Negeri Sabah, DUN akan terbubar secara automatik sekiranya tidak dibubarkan lebih awal selepas tempoh lima tahun berakhir.

Perkara itu pernah ditegaskan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya dalam satu sidang media pada Ogos lalu, bahawa pembubaran automatik akan berlaku sekiranya tiada pengumuman rasmi dibuat sebelum tarikh berkenaan.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri Sabah mahupun Pejabat Yang Dipertua Negeri berhubung hasil pertemuan terbabit.

Bagaimanapun, sumber Astro Awani memaklumkan pertemuan pagi ini memberi petunjuk jelas berhubung langkah pembubaran yang sedang digerakkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa parti politik dijangka mengaktifkan jentera masing-masing sekiranya DUN benar-benar dibubarkan dalam masa terdekat.

Sabah terakhir kali mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020 susulan pembubaran DUN oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Shafie Apdal.

Dengan tempoh matang hampir tiba, perhatian kini tertumpu kepada keputusan Tun Musa sama ada untuk memperkenankan pembubaran lebih awal atau membiarkan DUN terbubar secara automatik.

Langkah Hajiji menghadap Yang Dipertua Negeri dilihat sebagai langkah penting dan strategik dalam meneliti hala tuju politik Sabah dalam masa terdekat.