ad

Olahragawati SUKSES 2025 sasar emas, buru rekod SUKMA Selangor 2026

6 Okt 2025, 2:00 AM
Olahragawati SUKSES 2025 sasar emas, buru rekod SUKMA Selangor 2026

KLANG, 6 OKT: Olahragawati Sukan Selangor (SUKSES) 2025, Sasha Alyssa Philip, bertekad memburu pingat emas dan memecah rekod kejohanan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi acara lempar cakera, lontar peluru dan merejam lembing.

Atlet berusia 16 tahun dari Majlis Sukan Daerah (MSD) Petaling itu turut mengintai peluang melayakkan diri ke Sukan SEA 2027 mewakili skuad kebangsaan.

“Kejayaan dinobatkan sebagai Olahragawati SUKSES 2025 adalah hasil latihan konsisten dan disiplin tinggi. Saya mahu terus melakar pelbagai kejayaan dengan sasaran memenangi emas serta memecah rekod SUKMA 2026.

“Selain itu, saya fokus untuk layak ke Sukan SEA 2027,” katanya kepada pemberita.

Pada SUKSES 2025 edisi ke-15, Sasha meraih tiga pingat emas dan memecah tiga rekod kejohanan dalam acara yang sama, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai bintang baharu olahraga negeri.

Sementara itu, Olahragawan SUKSES 2025, Muhamad Daniel Haqiem Azman, 20, turut meletakkan sasaran sama untuk melayakkan diri ke SUKMA 2026 selepas cemerlang meraih dua pingat emas dan memecah rekod dalam acara 200 meter serta 400 meter.

“Selepas ini saya akan menyertai satu lagi kejohanan tempatan pada Disember sebelum memasuki musim rehat. Dalam tempoh itu, saya akan berbincang dengan jurulatih bagi menyusun strategi ke arah pencapaian terbaik di SUKMA 2026,” kata atlet MSD Kuala Selangor itu.

Terdahulu, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi menyampaikan anugerah Olahragawan dan Olahragawati SUKSES 2025 pada majlis penutup di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang, hari ini.

Daerah Petaling dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 42 pingat emas, 28 perak dan 21 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 91 pingat.