ad

Kapal flotila menuju Gaza berada 545 kilometer dari sempadan

6 Okt 2025, 1:20 AM
Kapal flotila menuju Gaza berada 545 kilometer dari sempadan

ISTANBUL, 6 OKT: Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza pada Ahad mengumumkan bahawa flotila yang menuju ke wilayah berkenaan, terdiri daripada 11 kapal membawa aktivis antarabangsa, kini berada kira-kira 545 kilometer (339 batu) dari perairan Gaza.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, misi itu bertujuan untuk menamatkan sekatan haram Israel, menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dan menubuhkan koridor maritim yang selamat bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan terus ke Gaza.

Terdahulu, para aktivis dalam konvoi bantuan itu merayu kepada masyarakat antarabangsa agar memberikan perlindungan ketika mereka semakin hampir ke destinasi.

Pada Sabtu, jawatankuasa memaklumkan bahawa dua lagi kapal menyertai gelombang terbaharu misi Freedom Flotilla Coalition bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan kapal yang berlayar meningkat kepada 11, selepas Israel menyerang 'Global Sumud Flotilla' di perairan antarabangsa minggu lalu.

Tentera laut Israel menyerang dan menahan beberapa kapal flotila berkenaan lewat Rabu lalu, serta menahan lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara.

Freedom Flotilla Coalition ialah gerakan solidariti antarabangsa peringkat akar umbi yang menganjurkan misi bantuan awam melalui laut dan sejak 2010 telah beberapa kali cuba memecahkan sekatan Israel sambil menonjolkan krisis kemanusiaan di wilayah Gaza.

Israel mengekalkan sekatan terhadap Gaza yang menempatkan hampir 2.4 juta penduduk sejak hampir 18 tahun lalu.