ad

PM Pakistan tiba di Malaysia untuk lawatan tiga hari

5 Okt 2025, 2:59 PM
PM Pakistan tiba di Malaysia untuk lawatan tiga hari

SEPANG, 5 OKT: Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesawat khas yang membawa Shehbaz dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.46 malam dan ketibaan mereka disambut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Shehbaz kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Nor Saifullah Mahmad @ Mohammed.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024 dan Shehbaz diiringi menteri Kabinet, termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Mohammad Ishaq Dar.

Pemimpin Pakistan itu akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya esok diikuti mesyuarat dua hala bersama perdana menteri.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama antara Malaysia-Pakistan, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan dan pembanterasan rasuah, perusahaan kecil dan sederhana, serta Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang latihan untuk diplomat.

Shehbaz turut akan menyampaikan naskhah dalam bahasa Urdu buku "SCRIPT: For a Better Malaysia" kepada Anwar.

Satu jamuan rasmi bagi meraikan Shehbaz turut akan diadakan di Kompleks Seri Perdana.

Kedua-dua perdana menteri juga dijadualkan menghadiri Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Pakistan-Malaysia.

"Lawatan ini dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama dalam bidang yang berkepentingan bersama," menurut kenyataan itu.

Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957. Hubungan dua hala itu telah ditingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM8.07 bilion (USD1.76 bilion), meningkat 25.5 peratus berbanding 2023.

Antara barangan eksport utama Malaysia ialah minyak sawit, petroleum dan produk kimia manakala import dari Pakistan terdiri daripada hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut serta produk petroleum.

-- BERNAMA