KUALA LANGAT, 5 OKT: Meskipun pernah berdepan kerugian hampir RM1.5 juta akibat ribut dan banjir pada 2019, pengusaha tanaman ubi kayu dan pisang tanduk, Muhamad Noh Norngaini, 35, tidak patah semangat hingga berjaya mengembangkan perniagaan kini.
Lebih membanggakan, anak muda Kampung Sungai Kelambu, Banting itu mampu mengeluarkan 250 tan metrik ubi kayu dan 35 tan metrik pisang tanduk sebulan.
"Saya mengusahakan tanaman ubi kayu dan pisang tanduk seluas 580 ekar. Ladang di Kuala Langat. Setiap bulan pengeluaran ubi kayu 250 tan dan pisang tanduk 35 tan.
"Itu pada bulan biasa, akan meningkat pada musim perayaan. Bulan Januari, Februari dan Mac berlipat tiga kali ganda untuk pasaran tempatan, Kuala Langat khususnya," katanya ketika ditemui Media Selangor di Selangor Agro Green @Kuala Langat 2025 di Pantai Kelanang di sini semalam.

Mengulas anugerah Ikon Pertanian yang dimenanginya, beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat untuk lebih gigih meningkatkan hasil pertanian dan menyumbang kepada matlamat keterjaminan makanan negara.
Muhamad Noh mula terlibat dalam pertanian dengan mengusahakan tanaman ubi kayu di atas tanah seluas dua ekar sejak 2015.
Sementara itu, Norziana Mohamad Azmi, 38, dari Kampung Sungai Rambai, Jenjarum, turut menerima anugerah sama atas kejayaan menghasilkan produk makanan Korea halal menggunakan hasil pertanian tempatan.
Beroperasi sejak 2018 dengan modal permulaan hanya RM200, syarikat Norziana kini mencatat jualan mencecah RM1 juta setahun melalui platform dalam talian termasuk TikTok dan Shopee.
"Kita guna banyak sayur. Misalnya kimchi guna banyak kobis panjang. Bagi sos kimchi kita guna banyak cili. Kita ambil dari peladang Kuala Langat.

"Untuk kimchi sahaja kita hasilkan sekitar 500 kilogram bagi tempoh dua minggu. Sebulan lebih kurang satu tan kobis kami gunakan. Semua bahan kita ambil daripada peladang di sini. Kalau tiada stok kita terpaksa beli di pasar raya atau pembekal lain," katanya.
Antara produk utamanya adalah kimchi, japchae, danmuji, sos jajang, sos ayam korea pedas dan tteokbokki yang banyak menggunakan hasil pertanian tempatan seperti kobis panjang dan cili daripada peladang di sekitar Kuala Langat.
Mengulas anugerah Ikon Pertanian Kuala Langat yang diraihnya, Norziana menganggapnya sebagai bukti bahawa sektor pemprosesan makanan merupakan sebahagian daripada ekosistem pertanian dan ia merupakan penghargaan tidak ternilai.