Sekali terdengar, hati terus terpaut. Alunan dentingan besi lembut yang pernah mengiringi langkah raja dan permaisuri, kini memukau sesiapa sahaja yang mendengar.
Gamelan bukan sekadar muzik, tetapi ibarat sahabat lama yang menjemput kita pulang ke akar budaya.
Dipercayai tiba di bumi Melayu sekitar abad ke-18, ia dibawa dari tanah Jawa ke istana sebelum diadun dengan jiwa tempatan.
Dari Balairung Seri Menanti hingga ke balai istiadat Pahang, gamelan menjadi nadi persembahan diraja.
Setiap dentingannya bukan sekadar bunyi, tetapi doa yang berbisik, lambang kuasa dan ikatan halus antara rakyat dan raja dalam bahasa tanpa kata.
Namun perjalanannya tidak terhenti di singgahsana. Perlahan-lahan gamelan mengalir ke tengah masyarakat.
Jika dahulu hanya mengiringi majlis penuh adat, kini alunannya bergema di sekolah, universiti, dewan kebudayaan malah pentas antarabangsa.
Dari muzik istana, ia menjelma menjadi milik rakyat, warisan bersama yang terus disemai generasi baharu.
Jurulatih Gamelan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), Azrad M Ramlan mendedahkan rahsia keindahannya yang tiada pada muzik moden.

“Jika kebanyakan muzik berpaksikan tujuh not penuh merangkumi Do, Re, Mi, Fa, Sol, La, Ti, Do, gamelan hanya berlegar pada lima not asas iaitu Do, Re, Mi, So dan La.
“Pada keterbatasan itu tersembunyi keindahan. Di situlah lahir kelunakan irama yang membelai perasaan, seakan-akan membawa pendengar hanyut ke dunia silam yang sarat dengan keagungan,” katanya kepada Media Selangor.
Alunannya tidak keras, tidak pula lantang. Ia mengalir lembut, berlapis dan menyatu, membentuk jalinan bunyi yang mengikat hati.
Tidak hairanlah ia digelar muzik istana. Sehalus bahasa, setenang adat, seindah budi. Bahkan, mempelajarinya tidak sesukar disangka.
“Asasnya dapat dikuasai dalam sebulan dua. Sebagai gerbang awal, pelajar lazimnya diperkenalkan dengan ‘Timbang Burung’, sebuah lagu sederhana tanpa ragam yang sulit.

“Sesudah itu barulah tangan dan telinga diasuh dengan ‘Lenggang Kangkung’, berirama langgam yang lebih berlapis sifatnya,” ujar Azrad yang hampir dua dekad mengajar seni ini.
Walau berakar pada tradisi, gamelan tidak pernah kaku. Kini ia disulam dengan instrumen moden, melahirkan ‘Gamelan Fusion’ yang segar dan memikat. Usaha memelihara seni ini juga dibawa ke sekolah.
“Saya dipertanggungjawabkan untuk menerapkan muzik gamelan kepada anak-anak di sekolah rendah. Alhamdulillah, minat generasi muda kian subur.
“Meskipun ada yang tidak mengenal sejarah gamelan, sebaik sahaja mereka mencuba, hati mereka terpikat oleh alunannya yang syahdu,” katanya.
Bagi sesetengah ibu bapa, usaha ini amat bermakna. Fazlin Mazlan, 42, antara yang menghantar anaknya belajar muzik tersebut.
“Tak ramai anak muda didedahkan dengan muzik ini. Jadi saya mahu anak saya belajar agar dia dapat mewarisi muzik tradisional yang sangat merdu dan lembut,” ujarnya.

Minat itu turut dikongsi Danisha Ahmad Riduan, 13, yang menyifatkan irama gamelan memiliki keunikan tersendiri.
“Suka sangat! Kalau main piano, lagu tak sama. Baru cuba gamelan dah rasa seronok,” katanya.
Rakan seusia, Damia Dihani Naim pula mengakui gamelan amat menyeronokkan.
“Baru beberapa bulan belajar, saya sudah sukakannya. Ia benar-benar simbol irama Melayu tradisional,” katanya.
Sesungguhnya, gamelan Melayu bukan sekadar seni bunyi. Ia wasiat sejarah, warisan bangsa dan suara halus yang menghubungkan kita dengan masa lalu.
Dentingannya wajar terus dipelihara agar kekal bergema sepanjang zaman.