ad

BUDI95 ringankan beban rakyat, bukti komitmen kerajaan salur subsidi tepat sasaran

5 Okt 2025, 9:00 AM
BUDI95 ringankan beban rakyat, bukti komitmen kerajaan salur subsidi tepat sasaran

BANTING, 5 OKT: Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) menerima sambutan positif daripada rakyat pelbagai lapisan yang menyifatkannya sebagai inisiatif meringankan beban kos sara hidup dan memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.

Pengguna, Siti Mariam Misnan, 36, menyifatkan penyaluran subsidi secara langsung kepada individu yang layak membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan disasarkan dengan lebih berkesan.

Siti Mariam Misnan, 36, bercakap kepada Media Selangor ketika program Santuni Madani di Kampung Sungai Lang Baru, Kuala Langat pada 4 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

“Sebagai rakyat biasa, saya rasa sangat bersyukur kerana bantuan seperti ini benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia sendiri. Selain membantu menjimatkan kos harian, ia juga dapat mengelakkan salah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Zaleha Yunos, 70, memberitahu pelaksanaan BUDI95 ini amat membantu golongan ibu tunggal sepertinya yang bergantung kepada kenderaan untuk menjalankan urusan harian.

“Sekarang lebih mudah untuk isi minyak tanpa rasa terbeban. Sistemnya sangat cekap dan prosesnya juga tidak rumit. Saya belajar sendiri pun boleh faham walaupun sudah berusia, ia memang mesra pengguna,” ujarnya.

Zaleha Yunos, 70, bercakap kepada Media Selangor ketika program Santuni Madani di Kampung Sungai Lang Baru, Kuala Langat pada 4 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

Bagi Yusazli Ahmad Yusuf, 49, pula berkata kuota 300 liter petrol sebulan yang diberikan menerusi BUDI95 dianggap mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan harian terutamanya bagi individu yang berulang-alik bekerja setiap hari.

Katanya, jumlah itu membolehkan pengguna merancang penggunaan bahan api dengan lebih bijak dari segi jumlah perjalanan seharian dan pengisian minyak sekali gus membantu mengawal perbelanjaan bulanan dengan lebih efektif.

“Sebagai pengguna, kita boleh anggarkan sendiri berapa liter yang digunakan setiap hari, jadi lebih mudah untuk kawal perbelanjaan. Setakat ini, saya tidak berdepan sebarang masalah.

Yusazli Ahmad Yusuf, 49, bercakap kepada Media Selangor ketika program Santuni Madani di Kampung Sungai Lang Baru, Kuala Langat pada 4 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF / MEDIA SELANGOR

“Saya harap ada pemantauan lebih ketat supaya program ini kekal berkesan dan adil untuk semua rakyat yang layak,” tambahnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter menerusi BUDI95 bermula secara keseluruhan pada 30 September lalu tanpa mengira tahap pendapatan.

Menerusi BUDI95, setiap rakyat Malaysia diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan manakala bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter mulai tarikh sama.