SHAH ALAM, 5 OKT: Festival HalalVibe Selangor by SELHAC dijangka menerima kehadiran lebih 30,000 pengunjung selama empat hari program itu berlangsung bermula 27 November ini.
EXCO Industri Halal Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata program yang bakal menghimpunkan lebih 300 usahawan di Dataran Karnival Stadium Shah Alam bertujuan mengangkat produk halal di Selangor.
"Pada tahun ini julung kali kita perkenalkan Festival HalalVibe Selangor bertujuan memberi ruang dan peluang kepada produk halal di negeri ini termasuk fesyen, pakaian, kosmetik dan juga produk kucing.
"Menerusi festival ini juga kita boleh kenal pasti produk halal terbaik di Selangor sekali gus mengangkatnya sehingga tembusi ke pasaran antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap meluncurkan logo Festival HalalVibe Selangor by SELHAC menerusi Majlis Halal Open Day 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.
Dr Mohammad Fahmi turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke festival berkenaan bagi menikmati pelbagai produk halal di Selangor.
Festival halal berkenaan tidak tertumpu kepada jualan semata-mata namun turut membuka kaunter perkhidmatan agensi kerajaan serta sesi pendidikan pensijilan.
Turut diadakan acara Fun Run 5 kilometer, sukan rakyat, pertandingan kucing comel, mini zoo, perpustakaan bergerak serta persembahan artis tanah air.