PELABUHAN KLANG, 3 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk menambah bilangan anggota dan pegawai bertugas pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 bagi memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap tertinggi.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata untuk keperluan itu, pihaknya akan terus menilai situasi keselamatan dalam negara menjelang penganjuran persidangan antrabangsa tersebut hujung bulan ini.
“Antara 34 tetamu negara yang akan hadir, ia juga akan melibatkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, tentu sahaja polis khususnya JKDNKA dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua aspek dan ketenteraman awam diberi perhatian.
“Kita akan menggerakkan tidak kurang dari 10,400 pegawai dan anggota, untuk memastikan sidang kemuncak Asean berlangsung dengan jayanya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun ke-78 Pasukan Polis Marin, di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah (1) di sini hari ini.
Azmi berkata pihaknya komited untuk memastikan persidangan tersebut dapat berjalan dengan lancar dalam konteks keselamatan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata seramai 10,492 anggota PDRM) dan 3,000 anggota Jabatan Imigresen (JIM), akan ditugaskan sempena persidangan itu bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan pada tahap tinggi serta kelancaran di pintu masuk negara.
Pada 8 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Sidang Kemuncak Asean ke-47 pada 26 hingga 28 Okt ini, dijangka yang terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak 1976.
Anwar berkata ia berikutan penyertaan pelbagai negara bukan Rakan Dialog Asean yang mengesahkan kehadiran pada sidang kemuncak itu antaranya Perdana Menteri Giorgia Meloni (Itali), Presiden Luis Inacio Lula da Silva (Brazil), Presiden Cyril Ramaphosa (Afrika Selatan).
Rakan dialog Asean terdiri daripada Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
- BERNAMA