ad

Wisma Putra: 15 rakyat Malaysia ditahan dalam flotila ke Gaza selamat, akan dihantar pulang

2 Okt 2025, 2:40 PM
Wisma Putra: 15 rakyat Malaysia ditahan dalam flotila ke Gaza selamat, akan dihantar pulang

PUTRAJAYA, 2 OKT: Kementerian Luar memaklumkan bahawa semua 15 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel ketika menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) pada Khamis berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Dalam satu kenyataan, kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata pihaknya akan memastikan mereka diberikan sokongan konsular dan bantuan sewajarnya bagi menjamin kepulangan selamat ke Malaysia.

Kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF, khususnya 15 rakyat Malaysia, yang ditahan Israel pada 2 Okt.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah berhubung dengan beberapa pemimpin serta rakan sejawat negara sahabat termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata ia telah mengeluarkan arahan kepada Perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, untuk mendapatkan kerjasama Kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.

“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara. Penahanan peserta GSF adalah tidak sah, dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera,” katanya.

Sehingga 3.39 petang Khamis, seramai 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu telah ditahan oleh pasukan Israel.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan Zionis yang berterusan.