ad

Op Grip bongkar taktik ubah tarikh pengeluaran tayar, sembunyi negara asal

2 Okt 2025, 10:37 AM
Op Grip bongkar taktik ubah tarikh pengeluaran tayar, sembunyi negara asal

SHAH ALAM, 2 OKT: Beberapa kesalahan serius melibatkan tayar yang diimport secara tidak sah dikesan dalam serbuan Op Grip di tiga premis menjual tayar di sekitar Shah Alam hari ini.

Serbuan melibatkan wakil daripada lapan syarikat pengeluar tayar utama selain disertai agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Antara kesalahan yang dikesan adalah penjualan tayar yang tidak diimport melalui pengedar sah, penemuan tayar yang sepatutnya dipasarkan di Eropah tetapi dijual di pasaran tempatan, pelekat pada tayar yang diubah suai untuk menyembunyikan negara asal, selain pengubahsuaian tarikh pengeluaran bagi membolehkan ia dijual sebagai stok baharu.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei Florentin Odenwald berkata pelekat pada tayar didapati diubah suai bagi mengelak pengguna mengenal pasti negara asalnya.

“Untuk pasaran Malaysia, kami hanya mengimport tayar keluaran Thailand kerana ia diformulasikan khusus untuk keadaan jalan raya dan iklim di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kit Loong Tayaria Richard Quah berkata pihaknya menemukan tayar jenama Pirelli yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini.

Beliau berkata sebagai pengedar sah, semua tayar Pirelli yang diimport secara sah mempunyai tanda khas menggunakan laser, namun tayar di premis terlibat tidak mempunyai tanda berkenaan.

Terdahulu, wakil syarikat pengeluar tayar turut menghadiri pertemuan dengan Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin di Pejabat SPRM Kuala Lumpur bagi membincangkan penyelesaian isu penyeludupan tayar yang membabitkan keselamatan pengguna jalan raya.

Mohamad Zamri berkata wakil syarikat turut berterima kasih kepada SPRM kerana menganjurkan operasi berkenaan, yang membolehkan mereka mengesahkan ketulenan tayar yang disita.

Isnin lalu SPRM membongkar kegiatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport yang dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak 2020.

Hasil operasi itu, SPRM turut membekukan beberapa akaun perbankan persendirian dan syarikat bernilai anggaran RM70 juta.

- BERNAMA