ad

Op Grip: Syarikat antarabangsa bantu sahkan ketulenan 18,000 tayar disita

1 Okt 2025, 7:30 AM
Op Grip: Syarikat antarabangsa bantu sahkan ketulenan 18,000 tayar disita

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Beberapa syarikat pengeluar tayar antarabangsa akan memberikan bantuan dalam proses pemeriksaan dan pengesahan ketulenan kira-kira 18,000 unit tayar yang dirampas dalam Op Grip oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin lalu.

Menurut sumber, langkah itu diambil bagi mengenal pasti secara terperinci status tayar yang disita dalam serbuan serentak di 23 lokasi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor ketika operasi itu.

“Siasatan awal mendapati tayar yang diseludup terdiri daripada pelbagai kategori termasuk tayar baharu yang tidak diisytiharkan dengan betul, tayar terpakai serta tayar celup yang tidak menepati piawaian keselamatan,” menurutnya.

Sumber memaklumkan kegiatan penyeludupan itu dipantau rapi SPRM kira-kira enam bulan sebelum operasi besar-besaran terbabit dilancarkan.

Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan masih tertumpu kepada usaha mengesan dan menyita aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.

“Siasatan mendapati pihak terlibat dengan kegiatan berkenaan mengemukakan dokumen import tidak tepat termasuk pernyataan nilai, klasifikasi atau sijil kualiti yang tidak sejajar dengan pengisytiharan sebenar bagi bertujuan mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar,” menurutnya.

SPRM kelmarin membongkar kegiatan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport yang dipercayai menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai kira-kira RM350 juta sejak 2020.

Serbuan dilakukan terhadap beberapa syarikat yang terlibat dalam perniagaan mengimport tayar, termasuk gudang dan kontena penyimpanan tayar di seluruh negara.

Hasil operasi itu, SPRM turut membekukan beberapa akaun perbankan persendirian dan syarikat dengan nilai anggaran kira-kira RM70 juta.

- BERNAMA