PUTRAJAYA, 2 OKT: Malaysia menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap semua aktivis, petugas kemanusiaan serta anak kapal Global Sumud Flotilla yang ditahan Israel.
Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi, Wisma Putra menegaskan tuntutan itu turut merangkumi pelepasan kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Malaysia turut menekankan penghantaran bantuan ke wilayah berkenaan mesti dibenarkan dilakukan dengan selamat tanpa sebarang halangan.
“Tindakan tanpa provokasi ini melanggar undang-undang maritim, undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia antarabangsa,” tambah kenyataan lagi yang menyifatkan tindakan Israel sebagai jenayah, bersifat pengecut dan pencabulan nyata undang-undang antarabangsa.
Setakat ini, dilaporkan lebih 200 aktivis pelbagai negara termasuk 12 aktivis rakyat Malaysia ditahan Israel.
Malaysia turut menegaskan Global Sumud Flotilla merupakan inisiatif kemanusiaan sah yang digerakkan bagi menyampaikan bantuan mendesak kepada rakyat Palestin.
“Ketika Palestin berdepan genosid, kebuluran, krisis kesihatan dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah kewajipan moral yang mesti dihormati masyarakat dunia.”
Malaysia juga menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa segera mengambil tindakan konkrit menghentikan kekejaman Israel serta memastikan pihak rejim bertanggungjawab atas perbuatannya.
“Dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat,” menurut kenyataan lagi.
Wisma Putra sekali lagi menegaskan sokongan berterusan Malaysia terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.