TERKINI: Israel tahan 23 delegasi Malaysia sertai misi Global Sumud Flotilla

1 Okt 2025, 5:12 PM
TERKINI: Israel tahan 23 delegasi Malaysia sertai misi Global Sumud Flotilla
TERKINI: Israel tahan 23 delegasi Malaysia sertai misi Global Sumud Flotilla

Tentera Israel menyekat Global Sumud Flotilla dan menahan aktivis yang berada di atas kapal tersebut. Beberapa pihak menyifatkan tindakan penahanan ini sebagai penculikan, keganasan dan Israel sebagai lanun.

27 rakyat Malaysia menyertai misi kemanusiaan itu dengan 23 orang berada di atas kapal dan empat sedang memantau pergerakan kapal.

497 aktivis global dari 46 buah negara menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) kali ini, misi kemanusiaan terbesar pernah digerakkan aktivis. Selain Malaysia, negara yang mempunyai aktivis teramai adalah Turkiye (56), Sepanyol (49), Itali (48) dan Tunisia (28).

10 malam: Israel tahan 23 delegasi Malaysia

Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan tentera Israel selepas beberapa kapal termasuk Sirius dan Huga dibawa masuk ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Flotilla Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan pasukan perundangan Malaysia di Jordan kini bersedia mewakili rakyat Malaysia yang ditahan sekiranya proses siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa Israel.

Beliau menambah, pertemuan dengan keluarga kesemua 23 delegasi akan diadakan segera bagi memberikan sokongan moral selain memaklumkan perkembangan terkini berhubung situasi tersebut.

5.40 petang: Lokasi akhir kapal Mikeno tidak dapat dipastikan

Kapal Mikeno yang dikatakan berada dalam kawasan perairan Gaza, tidak menepati pergerakan biasa kapal layar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia.

Menurut Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, pusat kawalan GSF juga tidak dapat memastikan lokasi akhir kapal Mikeno.

“Bot berada di lokasi tetapi tak dapat dipastikan sama ada peserta masih berada di dalamnya. Penduduk di Gaza pun tak dapat melihat bot ini dari pantai.

“Apa pun, tak perlu bimbang kerana Insya-Allah mereka semua selamat,” katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook.

Kapal Mikeno membawa beberapa aktivis dari negara Brazil, Turkiye, Netherland, Norway, Amerika Syarikat, Spain, termasuk aktivis Malaysia, Ardell Aryana.

Kapal berkenaan telah dipintas tentera Israel kira-kira jam 6 pagi tadi waktu tempatan.

Dalam pada itu, Nadir turut berseloroh untuk mengisytiharkan Ardell sebagai 'wali Gaza baru dekad ini' sekiranya kapal berkenaan tiba di pantai Gaza.

“Kalau bot ni betul dapat cecah pantai Gaza, saya isytiharkan Ardell sebagai wali Gaza baru dekad ini!,” katanya.

5 petang: Tiga kapal teruskan pelayaran

Seramai 17 daripada 23 aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla telah ditahan rejim Israel, setakat ini.

Terdahulu, Sumud Nusantara Command Center memaklumkan, tiga kapal yang membawa sembilan sukarelawan Malaysia masih meneruskan pelayaran iaitu kapal Free Willy, Estrella dan Fair Lady.

Bagaimanapun, kapal Free Willy yang membawa tiga rakyat Malaysia dipintas rejim Zionis di perairan antarabangsa kira-kira jam 7.53 pagi waktu Gaza (12.53 tengahari waktu tempatan).

4.20 petang: PM hubungi pemimpin dunia minta campur tangan bebaskan aktivis Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Presiden Qatar, sebaik mengetahui penahanan sukarelawan Malaysia dalam misi GSF.

Beliau berkata kerajaan juga akan menghubungi Presiden Mesir serta Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) bagi meminta campur tangan bagi menyokong pembebasan aktivis terbabit.

“Apa yang didakwa kesalahan mereka adalah kerana keprihatinan mereka atas prinsip kemanusiaan, membantu yang lemah dan kelaparan, termasuk mereka yang sakit.

“Kalau itu tidak dapat dilakukan, nilai kemanusiaan kita tidak berharga sama sekali. Saya berdoa agar kezaliman Israel dihentikan dan rakan-rakan kita dibebaskan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

3.30 petang: Dua individu ditahan ketika himpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur

Dua individu ditahan ketika menyertai himpunan menyokong misi Global Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur, hari ini.

Himpunan tersebut dihadiri puluhan peserta yang mula berkumpul di sekitar kedutaan kira-kira jam 12 tengahari.

Menurut laman sosial Instagram Parti Sosialis, salah seorang individu yang ditahan ialah aktivis pro-Palestin, Kamal Aarif Kamaruddin.

Difahamkan, Kamal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk soal siasat.

3.00 petang: Pasukan peguam Malaysia tiba di Jordan, bantu sukarelawan GSF

Pasukan peguam Malaysia tiba di Amman, Jordan bagi membantu peguam Hak Asasi Manusia, susulan berhubung penahanan aktivis GSF.

Peguam Fahmi Abd Moin memaklumkan kepada Harian Metro, beliau bersama empat lagi peguam dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) tiba di negara itu, semalam.

Difahamkan, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan kepada media dalam tempoh terdekat berhubung perkembangan ini.

2.30 petang: Kapal Free Willy dipintas rejim Zionis di perairan antarabangsa kira-kira jam 7.53 pagi waktu Gaza.

Menurut laman sosial Instagram Sumud Nusantara Official, kapal berkenaan membawa tiga rakyat Malaysia iaitu Haroqs, Haikal Zulkefli dan Dr Taufiq Mohd Razif.

Sebelum ini, Sumud Nusantara Command Center memaklumkan, tiga kapal yang membawa aktivis Malaysia masih meneruskan pelayaran iaitu Free Willy, Estrella dan Fair Lady.

1.00 tengah hari: 12 rakyat Malaysia ditahan Israel dalam keadaan selamat

Kesemua 12 delegasi Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel berada dalam keadaan selamat, menurut Pusat Kawalan Sumud Flotilla Nusantara (SNCC).

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sehingga ini semua rakyat Malaysia itu masih lagi berada di atas kapal masing-masing, lapor Harian Metro.

Katanya, pihaknya menerima pengesahan berhubung perkara itu daripada pelbagai pihak termasuk daripada delegasi Malaysia dan delegasi bukan Malaysia yang berada di atas kapal.

"Pembabitan 45 negara bukan sahaja daripada Asia, malah turut disertai negara Eropah dan negara anggota Nato seperti Turkiye antara sebab Israel tidak berani melakukan apa-apa tindakan kerana dunia sedang melihat," katanya.

12.15 tengah hari: Pelakon Yusuf Bahrin sebak, redha dan bangga dengan perjuangan Zizi Kirana

Pelakon, Yusuf Bahrin meluahkan rasa bimbang namun redha serta bangga sebaik mengetahui isterinya, Zizi Kirana ditahan tentera Israel dalam misi Global Sumud Flotilla, awal pagi tadi.

Menurut perkongsian Yusuf kepada Astro Awani, beliau sempat berbual dengan Zizi kira-kira jam 1.40 pagi tadi (waktu Malaysia) menerusi panggilan video.

Yusuf turut sebak apabila Zizi memaklumkan sudah bersedia selain memohon maaf dan meminta dihalalkan makan dan minumnya sepanjang bergelar isteri.

11.40 pagi: Anwar giat usaha pembebasan semua aktivis

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggiatkan usaha berhubung dengan semua pihak berkepentingan termasuk menerusi saluran diplomatik bagi memastikan pembebasan semua sukarelawan Global Sumud Flotilla.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut memohon ahli keluarga kepada aktivis terlibat supaya terus kuat dan diberikan ketabahan dalam melalui detik mencabar ini.

“Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” tulisnya.

10:37 am: Kapal dinaiki Zainal Rashid Ahmad, Ustaz Mat ditahan Israel

Sebuah lagi kapal, Fair Lady, dalam misi Global Sumud Flotilla ditahan tentera Israel.

Kapal itu dinaiki dua orang rakyat Malaysia, Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Mat. Perkara itu didedahkan penulis Faisal Tehrani menerusi hantaran video di Facebook.

Dalam rakaman audio kepada Faisal Tehrani, Zainal mengesahkan kapal dinaiki ditahan dan akan dipindahkan ke sebuah kapal lain sebelum dipindahkan ke pusat tahanan Israel untuk didakwa.

Video Zainal yang dirakam sebelum ditahan turut dikeluarkan akaun Facebooknya.

10:13 am: 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel

Jurucakap Global Sumud Flotilla Saif Abukeshek menerusi Instagram mengesahkan Israel sudah memintas 13 kapal.

Menurutnya, 201 aktivis dari 37 buah negara berada di atas kapal tersebut termasuk 30 aktivis dari Sepanyol, 22 dari Itali, 21 dari Türkiye dan 12 dari Malaysia.

"Kami masih mempunyai sekitar 30 buah kapal yang masih berjuang melepasi kapal tentera penjajah untuk cuba mendarat di perairan Gaza. Mereka masih berjuang. Mereka masih bersemangat dan akan cuba melakukan apa sahaja yang boleh untuk cuba melepasi [pengekangan] ini menjelang awal pagi dan tiba bersama-sama," katanya.

9:27 am: Anwar, Amirudin , Hajiji kecam tindakan Israel, gesa bebas aktivis Flotilla

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kekerasan kepada aktivis dan sukarelawan Malaysia yang sedang dalam perjalanan ke Gaza.

Dalam kenyatan dikeluarkan di Facebook, beliau menggesa semua aktivis yang ditahan dibebaskan dengan segera.

"Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.

"Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan," tulisnya.

Tambahnya, Malaysia akan mengambil semua langkah perundangan bagi mempertanggungjawabkan Israel atas tindakan ini, terutama kerana rakyat Malaysia terlibat.

Beliau turut menegaskan yang Malaysia akan terus kekal berdiri di belakang aspirasi perjuangan Palestin selagi mana hak mereka dilanggar.

"Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan di Facebook turut mengecam tindakan penahanan tidak sah Israel.

“Tindakan Israel menggunakan meriam air dan menceroboh kapal secara haram adalah salah di sisi undang-undang perairan antarabangsa. Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan bacul ini dan menggesa agar semua sukarelawan yang ditahan dibebaskan segera.”

8:52 pagi: Heliza Helmi, Zizi Karina antara rakyat Malaysia ditahan Israel

Heliza Helmi; adiknya, Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad adalah rakyat Malaysia terbaru ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel.

Heliza dan Hazwani menaiki kapal Hio, sementara Nurfarahin dan Danish menaiki kapa Grande Blu.

Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Grande Blu dipintas pada 12.58 tengah malam waktu Gaza, manakala Hio pada 2.34 pagi pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.

Tujuh lagi ialah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma selain Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius, , lapor Sumud Nusantara Official.

Status lima lagi rakyat Malaysia iaitu PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang menaiki kapal Estrella, serta Ardell Aryana yang berada di kapal Mikeno, masih belum diketahui, lapor Bernama.

Setakat 6 pagi waktu Malaysia, sistem pengesan SNCC melaporkan sembilan kapal berada pada status “diserang” manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat “kecemasan”.

Sebelum ini, kapal dinaiki Zizi Karina turut ditahan tentera Israel.