KUALA LUMPUR, 2 OKT: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan Lesen Pengendali syarikat lori yang terlibat dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, berkuat kuasa hari ini.
APAD dalam kenyataan hari ini, memaklumkan siasatan mendapati syarikat itu gagal memastikan pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada lori tersebut dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Pembatalan lesen itu dilaksanakan selaras peruntukan mengikut Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Dengan terbatal Lesen Pengendali, syarikat itu tidak dibenarkan untuk mengendalikan atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah Lesen Pengendali tersebut.
“APAD bertegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu.
APAD turut mengingatkan semua pengendali berlesen agar sentiasa mematuhi syarat ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengakibatkan Lesen Pengendali mereka dibatalkan.
Pada Sabtu lepas, kemalangan melibatkan sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun manakala tujuh individu cedera.
-- BERNAMA
TAG: APAD, kemalangan, Lesen Pengendali, GPS, Plaza Tol Bukit Kajang